Monday, 11 March 2013

BERIBU PULANG KE FILIPINA NAIK 'KUMPIT'


Sandakan: Bimbang menjadi mangsa pengganas Sulu yang tidak berperikemanusiaan, lebih 1,000 penduduk berketurunan Suluk termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menetap di Sandakan, berpusu-pusu pulang ke kampung halaman mereka secara sukarela dengan menaiki ‘kumpit’.
Tindakan mereka itu sekali gus menolak dakwaan media Filipina bahawa penduduk terbabit dihalau pihak berkuasa dari Malaysia.
Presiden Persatuan Suluk Bersatu cawangan Sandakan, Jamal Ali berkata kebanyakan warga Filipina di daerah ini yang berasal dari kepulauan Sulu termasuk mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah pulang ke negara asal sejak kelmarin berikutan bimbang dengan keadaan di negeri ini.
“Sebahagian besar mereka pekerja kilang kelapa sawit, kilang papan dan sektor pembinaan yang pulang ke negara asal mereka menaiki ‘kumpit’, sejenis kapal seakan tongkang dari Filipina yang datang ke negeri ini untuk berniaga.

“Laporan media negara Filipina yang mendakwa polis menggunakan keganasan adalah tidak benar, sebaliknya mereka pulang kampung secara sukarela.

“Malah, ada antara mereka turut bercadang kembali semula ke Sabah untuk mencari pekerjaan selepas insiden di Lahad Datu ini selesai,” katanya ketika ditemui di Pasar Umum Sandakan, di sini, semalam.
Menurut Jamal, beliau sendiri memantau pergerakan mereka pulang menaiki ‘kumpit’ dan berjalan dengan baik tanpa sebarang kekacauan.

“Beratus-ratus warga Filipina berketurunan Suluk pulang bersama keluarga masing-masing menaiki kumpit yang berlabuh di Pulau Berhala.
“Mereka pulang secara sukarela bukan melarikan diri,” katanya

No comments:

Post a Comment