Sunday, 17 March 2013

Kebersihan lambang kesejahteraan masyarakat


Menjaga kebersihan adalah satu kewajipan. Kebersihan melambangkan dan mencerminkan peribadi seseorang. Agama Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan (keimanan). 

Sabda Nabi SAW: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Riwayat Ibnu Majah).
Kebersihan juga melambangkan tarikan kepada agama Islam yang suci. Jadi, sebagai umatnya kita seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada orang bukan Islam dengan membuktikan cara hidup Islam berasaskan kepada kebersihan melalui perbuatan dan perkataan. 


Perlu kesedaran tinggi 

Namun, semua ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna jika hanya segelintir masyarakat yang sedar pentingnya menjaga kebersihan. Ibu bapa dan golongan dewasa juga perlu mempunyai kesedaran diri yang tinggi dan memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan. 

Anak-anak juga perlu dididik sejak kecil dengan pakaian yang bersih, makanan halal serta amalan membuang sampah di tempat yang sepatutnya. 

Sifat seorang Muslim yang beriman dan mengikut garis panduan disyariatkan Islam adalah sentiasa mengamalkan kebersihan daripada pelbagai sudut dan menyucikan diri daripada segi zahir dan batin. 
Dari Abu Malik Al-Asya’ari, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman.” 

Sifat orang beriman 


Kebersihan dan kesucian itu menjadi sifat orang yang beriman. Semasa beribadah, mereka dikehendaki berkeadaan bersih suci meliputi tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang. Mereka dituntut membersihkan batin daripada segala perkara yang dikeji dan dilarang. 

Oleh kerana umat Islam diwajibkan mengerjakan solat lima kali sehari, maka dapatlah difahami bahawa salah satu hikmahnya atau tujuannya ialah untuk menggalakkan sifat mulia ini iaitu sifat menjaga kebersihan dan kesucian zahir serta batin supaya menjadi amalan hidupnya. 

Sebagai umatnya yang beriman, kita perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan rohani dan jasmani demi kesejahteraan masyarakat sejagat. 

No comments:

Post a Comment