Monday 18 March 2013

47,884 lulus, 18 calon dapat 5A dalam STPM 2012


calon STPM
Calon STPM dari Sekolah Menengah Green Road di Kuching meraikan kejayaan setelah mendapat keputusan cemerlang 4A dalam STPM yang diumumkan hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 calon (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada  jumlah itu, sebanyak 2,709 calon atau 5.24 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 21,779 calon (42.15 peratus).

"Seramai 10,029 calon (19.41 peratus) lagi lulus penuh tiga mata pelajaran, 7,299 calon (14.13  peratus) lulus penuh dua mata pelajaran dan 6,068 calon (11.47 peratus) lulus penuh satu mata  pelajaran.

"Jumlah calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1,253 calon, iaitu daripada 23,246 calon (45.89 peratus) pada tahun 2011 kepada 24,488 calon  (47.39 peratus) bagi tahun lepas," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2012 di sini, hari ini.

Mengenai prestasi pelajar, Mohd Noh berkata 18 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A  dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding 12 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu katanya, tujuh calon adalah pelajar aliran sains dan 11 lagi dari aliran  sastera.

Bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat empat Gred A pula adalah  sebanyak 53 calon manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat empat Gred A  adalah sebanyak 379 calon.

Beliau berkata pada umumnya, prestasi calon tahun 2012 adalah lebih baik berbanding tahun  sebelumnya, di mana min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) negara meningkat kepada 2.24 daripada 2.22  pada 2011.

Pada 2012, seramai 442 calon (0.86 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 300 calon (0.59  peratus) pada tahun sebelumnya, iaitu meningkat sebanyak 142 calon.

Seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila  prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar, di mana bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 1,105 (13.53 peratus) berbanding hanya 170 calon (9.20  peratus) luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 392  (14.85 peratus) berbanding hanya lapan (6.4 peratus) calon luar bandar.

Sementara bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah seramai  713 calon (12.90 peratus) berbanding hanya 162 calon (9.24 peratus) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan  berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu min PNGK sekolah kerajaan pada tahun 2012 ialah 2.33 berbanding  2.29 pada 2011.

Pada tahun 2012, sebanyak 59 buah sekolah mencapai min PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 52  sekolah pada tahun sebelumnya dan 47 sekolah pada 2010, katanya.

Peningkatan sebanyak 1,253 juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu 23,683 calon (49.64 peratus) bagi tahun lepas  berbanding 22,430 calon (47.84 peratus) pada tahun 2011.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati enam mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Further Mathematics T (71.43 peratus), Bahasa Cina (69.34  peratus), Ekonomi (59.19 peratus), Syariah (76.43 peratus), Sejarah (64.18 peratus) dan Geografi (70.21  peratus) berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 15 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza  peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus.

"Pada 2012, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Arab dan Literature in English pula menurun  prestasinya berbanding dengan STPM 2011," katanya.

Daripada segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi tujuh mata pelajaran iaitu  Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Computing, Fizik, Kimia dan Biologi, Mohd Noh berkata 98.13 peratus (25,503) calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun  lalu berbanding 98.11 peratus (25,993) pada tahun sebelumnya.

Mengumumkan mengenai prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) sesi November  2012, beliau berkata pada keseluruhannya berlaku peningkatan terhadap prestasi calon iatu sebanyak  36.22 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 23.94 peratus pada sesi Julai  tahun lepas.

Pada majlis itu, Mohd Noh turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil  penghargaan dan sebuah plak kepada 18 pelajar cemerlang STPM, dua anugerah kepada pelajar cemerlang istimewa.

Anugerah turut disampaikan kepada pelajar cemerlang luar bandar dan dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2012, masing-masing bagi calon Terbaik MUET Mac 2012 dan calon Terbaik MUET November 2012.

Sementara itu, Mohd Noh turut mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Penggal Satu STPM 2013 akan dikeluarkan pada Khamis ini bermula pukul 12 tengah hari.

"Semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui portal MPM diwww.mpm.edu.my atau  melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 15888," katanya. 

Credit: Sinar- Bernama

No comments:

Post a Comment