Thursday, 14 March 2013

Peniaga Lahad Datu merungut jualan merosot, pelancong berkurangan


lahad datu
Samiah (kanan) melayan pelanggannya walaupun sedar jualan merosot sejak kejadian pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo.
Lahad Datu
Pemandangan pekan Lahad Datu.
LAHAD DATU - Walaupun disenaraikan sebagai bandar selamat daripada serangan pengganas bersenjata yang mendakwa diri mereka tentera kesultanan Sulu, kehadiran pelancong masih lagi tidak menunjukkan pertambahan.

Sejak 1 Mac lalu, selepas kejadian yang meragut nyawa dua perwira negara Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud dalam serangan hendap kumpulan pengganas kira-kira 130 kilometer dari sini, kehadiran pelancong mencatatkan penurunan yang ketara di mana aktiviti ekonomi juga dilihat lembap melainkan aktiviti seharian sebagai penduduk tetap.

Perkara ini diakui peniaga yang rata-ratanya menjalankan perniagaan sekitar pusat bandar sejak berbelas tahun dahulu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan mendapati aktiviti perniagaan mereka merosot.

Peniaga, Linda Sahril, 46, berkata, inilah pertama kali berlaku kepada peniaga di mana hasil jualan tidak sampai RM100 sehari sejak kejadian meragut nyawa dua anggota polis itu.

“Tak pernah berlaku sebegini, kejadian itu benar-benar merugikan. Walaupun hampir dua minggu berlalu, namun kehadiran pelancong jelas berkurangan.

“Susah kami jika keadaan ini berlarutan, macam mana kami nak meneruskan kehidupan kami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Sabariah Sukri, 45, berharap kehadiran pasukan keselamatan di pusat bandar ini akan meyakinkan pelancong untuk terus jadikan bandar ini sebagai destinasi pelancongan sebelum meneruskan percutian ke Pulau Mabul dan Pulau Sipadan.

Katanya, dia terpaksa menutup perniagaannya selama seminggu sejak 1 Mac lalu, ekoran kekurangan pelancong.

“Saya buka pun rugi dan berdepan dengan risiko, jadi lebih baik saya tutup dulu perniagaan. Minggu ini baru saya buka semula perniagaan,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan ringan.

Khabar pend: aratan penceroboh pada 12 Februari lalu tidak mendatangkan kesan ketakutan kepada masyarakat kerana aktiviti masyarakat tetap diteruskan sehinggalah kejadian yang meragut dua nyawa pihak berkuasa.

Lahad Datu yang rata-ratanya didiami pelbagai bangsa antaranya Melayu, Sulu, Bajau dan Sulu kelihatan lumpuh, tiada aktiviti bebas seperti sebelum ini. Penduduk masih lagi trauma.

Aktiviti nelayan juga berkurangan dan bekalan ikan basah juga berkurangan di pasar basah.

Peniaga ikan, Samiah Auli, 60, berkata, dia mengalami kerugian besar sejak kejadian pencerobohan pengganas ini.

“Kebiasaan makcik menjual pelbagai jenis ikan dan mendapat pulangan sehingga RM1,000 setiap hari, tetapi sekarang ini, nak dapat RM300 sehari pun susah. Bukan hanya pelancong, orang tempatan pun dah tak ramai ke pasar ini,” katanya.

Sementara itu, penjual ketam, Halitah Sarbani, 42, melahirkan keluhan sama kepada kami ketika ditemui di kedainya.

“Selalunya saya berjaya jual ketam sehingga 50 kilogram sehari pada harga sehingga RM50 sekilogram. Tetapi kini, saya menjual RM8 sekilogram pun masih tidak laku. Nak habiskan 10 kilogram sehari pun susah,” keluhnya.

Credit: MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN & NURUL RIDUAN NOR ASHAHA

No comments:

Post a Comment