Saturday, 30 March 2013

Empat asas utama lahirkan umat bersifat mulia


Udang-undang dicipta untuk menjadikan kehidupan manusia sentiasa dalam keadaan tersusun dan sistematik. Diciptakan undang-undang jalan raya, pusat pengajian, perniagaan, hiburan, jabatan awam dan swasta adalah untuk mencorakkan sistem kehidupan yang stabil. 

Namun, segala undang-undang ini tidak memadai untuk mendidik tabiat manusia yang sering melanggar peraturan ditetapkan. Segala undang-undang dicipta tidak dapat mencapai matlamat secara menyeluruh kerana ia bersifat luaran semata-mata tanpa didikan dalaman.
Undang-undang ini hanya berperanan kepada masyarakat umum saja, manakala peranan individu penting untuk merealisasikannya. Kita mendapati kekuatan yang ada hanyalah hukuman dikenakan kepada pesalah berdasarkan sistem keadilan sedia ada. 


Bagi mereka yang bebas daripada kesalahan, tidak mendapat apa-apa ganjaran di dunia. Apa yang perlu adalah wujudnya kefahaman bahawa mereka tetap mendapat ganjaran di akhirat. 

Syekh Jamaluddin Al-Afghani berkata: “Tidak cukup untuk kita menghukum pesalah semata-mata kerana di sana masih ada yang rosak dalaman mereka sehingga sanggup menipu, melakukan maksiat, rasuah, pecah amanah, khianat, hasad dengki, penganiayaan dan banyak kerosakan di muka bumi ini. Terkadang ia tidak dapat dikesan dan mereka terselamat daripada hukuman.” 

Kebaikan zahir, jiwa 

Dr Abdullah Darraz dalam bukunya Addin menyebut: “Tiada kehidupan dalam masyarakat yang hanya menumpukan kebaikan pada zahir tanpa menghiraukan urusan jiwa yang tersembunyi.” 

Allah SWT berfirman: “Mereka hanya mengetahui perkara zahir nyata daripada kehidupan dunia dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu mengenai hari akhirat.” (Surah Ar-rum, ayat 7) 


Ini contoh mereka yang hanya memandang dari sudut duniawi semata-mata tanpa melihat ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT. Sifat ini akan merugikan seseorang kerana habuan dunia hanyalah sementara. 

Imam Ghazali meletakkan empat asas utama sifat mulia di sisi Allah SWT iaitu kebijaksanaan yang dapat membezakan benar dan salah; keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakan akal; kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak serta keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang kasihkan dunia, maka dia membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia membahayakan dunianya. Justeru, ingatlah utamakan suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia).” (Riwayat Ahmad dan Hakim) 

Jika diperhatikan maksud kasih di sini ialah cenderung dan gemar terhadap dunia, bukanlah meninggalkan dunia secara keseluruhan kerana kita dituntut untuk mendapatkan kedua-duanya. 

Firman Allah SWT: “Katakanlah wahai Muhammad: Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu.” (Surah Ghafir, ayat 39) 

Hati dan jiwa dalaman adalah pusat yang menggerakkan tubuh untuk melakukan kebaikan. Hati adalah perkara utama untuk memperbaiki akhlak manusia. Nabi SAW menganggapnya sebagai perkara utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruh anggota manusia. 

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah yang menyucikan jiwa itu. Dan rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams, 9-10) 

Realisasi matlamat 
Manusia bergerak melalui urusan dalaman jiwa berteraskan agama yang mana terletaknya kekuatan sebenar. Kekuatan ini akan mencetuskan disiplin kuat untuk melaksanakan undang-undang seterusnya merealisasikan matlamat diciptakan undang-undang itu. 

Undang-undang yang baik akan berkesan jika manusia bertindak mengikut landasan agama. 

Imam al-Ghazali berkata: “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin.” 

Firman Allah SWT: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah SWT mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)

No comments:

Post a Comment