Thursday 14 March 2013

TABLET PENGGANTI BUKU



Tablet pengganti buku teks di AS
Beberapa pelajar di McAllen Memorial High School di Texas menggunakan iPad semasa di dalam kelas. Foto: AP
Tablet pengganti buku teks di AS
Penggunaan iPad di dalam bilik darjah dikatakan dapat menarik minat dan memperbaiki cara pembelajaran mereka. Foto: Flickr
Tablet pengganti buku teks di AS
Bahan untuk subjek Sains untuk pelajar gred enam yang disediakan oleh buku teks digital di bawah program Discovery Education. Foto: AP
WASHINGTON -  Buku teks merupakan bahan penting  dalam proses pengajaran di sekolah.

Bagaimanapun, pelajar di Amerika Syarikat (AS) kini didedahkan dengan alat bantu mengajar yang lebih canggih dan ringan.

Kebanyakan sekolah kini menggunakan iPad sebagai cara untuk menarik minat pelajar dalam kelas, ganjaran terhadap pencapaian cemerlang mereka selain dapat mengurangkan kos.

Ketua program pendidikan tablet di bawah News Corp, Joel Klein berkata, pihak sekolah mesti mengambil peluang untuk menggunakan teknologi itu untuk memperkasakan guru dan memperbaiki cara pembelajaran murid.

“Menerusi  kaedah ini, ia dapat mengubah corak pembelajaran dengan membantu guru mengendalikan bilik darjah dan memberi arahan lebih mudah kepada murid atau pelajar mereka, “ kata bekas pengetua sebuah sekolah di New York itu lagi.

Minggu lalu, News Corp telah memperkenalkan komputer tablet Amplify berharga AS$299 (RM930) dengan skrin paparan  10 inci di  persidangan South by Soutwest  di Austin, Texas.

Ia dilengkapi sistem tanpa wayar,  perisian untuk guru memantau aktiviti setiap pelajar, menawarkan tinjauan segera dan menyediakan kuiz bagi menguji tahap kefahaman mereka.

Pada masa ini, kira-kira 2,000 sekolah telah bekerjasama dengan syarikat enjin carian internet gergasi, Google untuk menggunakan komputer riba, Chromebook  yang ditawarkan dengan harga serendah AS$199 (RM619).

Dianggarkan 20 juta pelajar dan guru telah menggunakan Chromebook sebagai alat bantuan belajar mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew dan American Life Project mendapati lebih 40 peratus pelajar atau guru menggunakan komputer tablet dalam Projek Penulisan Nasional di sekolah masing-masing. 

Pengarah Bersekutu untuk Pusat Penyelidikan Pew, Kristen Purcell memberitahu, empat daripada 10 responden menyatakan mereka sudah menggunakan tablet.

“Bagaimanapun, enam daripada 10 responden pula menyatakan mereka belum lagi didedahkan dengan alat teknologi itu. Perkara tersebut tidak menjadi satu masalah kerana masih ada banyak masa untuk memperkenalkan alat bantuan mengajar itu ke semua sekolah di seluruh negara,” jelasnya dalam laporan AP

Dalam masa beberapa tahun lagi, penggunaan tablet di sekolah pasti akan terus meningkat.

Komputer tablet dicadangkan untuk menggantikan buku teks kerana kos penggunaan alat teknologi itu dikatakan hanya berjumlah AS$100 juta (RM311 juta) setahun.

Bulan lalu, sekolah di Los Angeles telah memperuntukkan AS$50 juta (RM156 juta) untuk membeli tablet bagi setiap pelajar mereka dan projek tersebut dijangka menelan kos AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Pada tahun lalu, sekolah di McAllen, Texas mengedarkan komputer  tablet Apple yang melibatkan kos AS$20.5 juta (RM63.8 juta).

Sebuah sekolah lain di Austin turut membuat pelaburan besar sebanyak AS$1.2 juta (RM3.7 juta) dengan mengedarkan lebih 2,000 iPad kepada semua pelajar mereka termasuk kanak-kanak tadika .

Pelatih guru di bawah program Discovery Education itu, Scott Kinney berkata, cabaran terbesar melaksanakan projek tersebut adalah untuk mengemas kini  bahan pengajaran paling terbaru.

Kelebihan utama untuk menggunakan buku teks digital itu ialah pelajar juga dapat menukar fungsi bahasa.

Sebagai contoh, pelajar yang sedang membuat kerja rumah bersama ibu bapa mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris boleh menukar ke bahasa ibunda mereka.

Kelebihan lain buku teks digital tersebut adalah ia hanya menelan kos antara AS$38 (RM118) dan AS$55 (RM171) untuk setiap pelajar bagi tempoh langganan selama enam tahun berbanding AS$70 (RM218) jika menggunakan buku teks biasa.

Sehingga kini, setengah juta pelajar telah menggunakan program Discovery Education di 35 negeri di AS.
Tetapi, teknologi tersebut dikatakan tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.

“Jika guru tidak dilatih menggunakan teknologi itu, ia jelas tidak membawa sebarang perbezaan,” kata guru komputer di Sekolah Sains Orlando, Mevlut Kaya .

Di bawah program itu, iPad akan ditawarkan kepada pelajar yang berjaya memperoleh pencapaian purata nilai gred 3.5.

Bagaimanapun, Sekolah Swasta Avenues di New York memberikan iPad dan MacBook Air kepada setiap pelajarnya.

Pihak sekolah tidak menyediakan buku teks kerana  kebanyakan guru akan memberi bahan bacaan dan kerja rumah menerusi rangkaian tanpa wayar di sekolah.

Walaupun golongan pelajar kini didedahkan dengan pelbagai alat teknologi canggih, pengkritik mula mempersoalkan keberkesanannya kerana ia mungkin tidak bermakna jika guru sendiri tidak tahu untuk menggunakannya.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment