Friday 22 March 2013

MENSYUKURI NIKMAT KEAMANAN


Khutbah Jumaat: Mensyukuri nikmat keamanan
Peristiwa pencerobohan Lahad Datu jadi iktibar umat Islam bersatu pertahan kedaulatan negara, agama

Keamanan dan keselamatan negara berlandaskan konsep kedaulatan undang-undang. Oleh itu, apabila keamanan dan kedaulatan negara diganggu gugat, maka setiap inci tanah air ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang negara. 

Sedarlah, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu telah memberi satu pengajaran besar kepada kita semua khususnya umat Islam bahawa kedaulatan dan keamanan negara adalah satu perkara yang perlu dipertahankan kerana ia membabitkan maruah tanah air.
Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar supaya meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Keamanan bererti kita bebas daripada segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian. 


Alhamdulillah, kita bersyukur suasana harmoni ketika ini dapat dikawal dengan sebaiknya walaupun ada sedikit api perpecahan yang dilakukan oleh tangan-tangan gatal. Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan agama Islam terus dilindungi. 

Keamanan adalah asas utama menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara. Percayalah, kedaulatan agama Islam pasti tercalar jika keamanan negara tergugat dan mustahil untuk menegakkan syariat Islam jika negara kacau bilau dan huru hara. 

Ingatlah, pentingnya keamanan dalam kehidupan manusia, sehingga Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Allah SWT supaya bumi Makkah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran. Peristiwa ini berlaku ketika pembukaan kota Makkah sebagai pusat ibadah dan tanah suci. 

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima), tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 126) 
Sejarah ketamadunan manusia menunjukkan bahawa nikmat keamanan mampu memberi sumbangan besar ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia sejagat. 

Harus diingat, suasana aman yang dinikmati ketika ini sebahagian besar datangnya daripada penat jerih usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia. Mereka berusaha menjalankan tugas diamanahkan penuh komited dan bertanggungjawab. 

Sejarah membuktikan institusi penting ini sudah wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin. Sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab, beliau mewujudkan pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan orang awam. 

Bahkan beliau sendiri turut serta menjalankan rondaan pada waktu malam melihat keadaan rakyatnya demi semata-mata untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara. 

Fungsi pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tidak dapat dinafikan, apabila ia menjadi tunjang berdasarkan prinsip maqassid syar’iah yang lima, iaitu memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. 

Peranan mereka amat membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat itu. Sebagai masyarakat, kita seharusnya saling bekerjasama dalam membanteras kegiatan jenayah. Janganlah bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan keselamatan menangani jenayah. 

Keadaan ini akan menyebabkan gejala jenayah terus berleluasa yang akhirnya merugikan kita sendiri. Amalkan sikap ‘cakna’ atau ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Justeru, kita mesti bersatu untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan selamat sejahtera. 

Marilah bersatu mempertahankan negara, menyokong dan mempercayai segala usaha dilaksanakan anggota keselamatan demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.

No comments:

Post a Comment