Sunday 17 March 2013

‘Ini peperangan, bukan teori’


Lahad Datu: “Ini bukan soal akademik iaitu teori dan taktik. Ini peperangan,” tegas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika ditanya bagaimana ketua pengganas, Agbimudin Kiram boleh melarikan diri ke selatan Filipina sedangkan pasukan keselamatan mengawal ketat perairan dan kawasan operasi.
“Seperti dimaklumkan semalam (kelmarin), ketua pengganas itu meloloskan diri ke selatan Filipina. Pada hemat saya, itu tidak menjadi masalah (Abgimudin melarikan diri) kerana kita boleh mengekstradisi dia ke negara ini untuk didakwa mengikut Seksyen 130 c (1) (a) yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
“Setakat ini, kita mengumpul seberapa banyak bukti untuk mendakwanya. Kita akan dakwanya di negara ini,” katanya pada sidang media bersama Panglima Divisyen Pertama Infrantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar di Hotel Residence Sahabat di sini, pagi semalam.

Pada sidang akhbar malam kelmarin, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan adik Jamalul Kiram III itu tidak mungkin berada di kawasan operasi pembersihan Op Daulat kerana pasukan keselamatan tidak menemui petunjuk mengenai kehadirannya.
Foto
TENTERA melakukan rondaan mencari saki baki pengganas di Sungai Nyamuk dekat 
Kampung Tanduo, semalam.

Berdasarkan maklumat dan risikan yang diperoleh menerusi pelbagai sumber, ketua pengganas itu kemungkinan besar meninggalkan pengikutnya di kawasan Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment