Saturday, 30 March 2013

MARI BERBUAT KEBAIKAN


Guna akal, ilmu ke arah kebaikan


Sesungguhnya terdapat banyak keistimewaan manusia berbanding makhluk lain. Keistimewaan yang paling utama ialah pengiktirafan oleh Allah SWT bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian ciptaan-Nya. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah at-Tin, ayat 4).


Manusia dimuliakan oleh Allah SWT berbanding haiwan kerana selain nafsu, manusia juga dibekalkan dengan akal fikiran. Dengan akal, manusia dapat mengetahui tanggungjawab dan siapa penciptanya. 

Sayangnya ada manusia yang tidak menggunakan akal, sebaliknya mereka menuruti kehendak nafsunya. Nafsu yang tidak dikawal akan mendorong manusia melakukan dosa dan maksiat, malah mereka tidak dapat membezakan antara perbuatan betul dengan yang salah.

Ini menjadikan manusia tidak berbeza daripada binatang yang turut dikurniakan nafsu, tetapi tidak berakal.

Tahap intelek tinggi

Antara keistimewaan lain, manusia mampu memiliki ilmu dan tahap intelek yang tinggi. Ini diceritakan dalam al-Quran melalui firman-Nya: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam daripada segala nama benda-benda dan gunanya. Kemudian ditunjukkannya kepada malaikat, lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 31).

 
Melalui ilmu yang telah dianugerahkan Allah SWT, manusia berupaya mengenal Tuhannya dan mampu membuat penilaian serta renungan terhadap kejadian alam. Kerana ilmu juga manusia dimuliakan. 

Ini terbukti apabila orang yang berilmu sering mendapat sanjungan sedangkan orang yang tidak berilmu dipandang hina di dunia dan akhirat. Cuma apa yang dituntut ke atas orang yang berilmu ialah menggunakan ilmu itu ke arah kebaikan. Jika sebaliknya maka orang yang berilmu akan mendapat celaan dan laknat daripada Allah SWT.

Manfaat sumber asli

Akhir sekali manusia diberi kelebihan dengan berupaya memanfaatkan segala sumber alam yang diciptakan Allah. Di lautan, Allah menjadikan pelbagai jenis sumber kehidupan seperti ikan, barang perhiasan dan sebagainya. 

Di perut bumi pula, Allah sediakan sumber galian untuk manusia seperti minyak, logam dan arang batu. Apa yang penting, semua kurniaan Allah ini diamanahkan kepada manusia untuk diurus dan ditadbir dengan baik dan bijak.

Oleh itu, manusia sewajarnya berhati-hati supaya tidak melampaui batas dan tidak tergolong ke dalam golongan yang membuat kerosakan di muka bumi ini.


Creit: Safwan Idris

No comments:

Post a Comment