Monday, 11 March 2013

UUM BERI BIASISWA KEPADA PELAJAR MINDANAO


UUM beri biasiswa kepada 10 pelajar dari Mindanao lanjut pelajaran

SINTOK 11 Mac - Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan biasiswa kepada 10 pelajar Islam dari Mindanao, Filipina yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut bermula semester ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pemberian biasiswa tersebut dibuat sebagai komitmen universiti bagi membantu pelajar Islam dari wilayah tersebut melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi di negara ini.

"Biasiswa ini diberikan kepada lima pelajar yang akan mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan lima lagi di peringkat sarjana di UUM.

"Untuk hari ini kita berikan kepada dua pelajar dahulu yang akan mengikuti pengajian Sarjana Kewangan Islam dan Perbankan di universiti ini manakala lapan lagi akan diberikan pada bulan September depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian biasiswa kepada dua pelajar Mindanao yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut, di sini hari ini.

Beliau berkata, biasiswa itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari Mindanao untuk mendapatkan pendidikan di Malaysia dan membantu mereka membangunkan sumber tenaga kerja di sana.

"Seperti yang kita ketahui, sekarang ini mereka (Mindanao) sangat memerlukan sumber tenaga manusia yang berpendidikan tinggi dan terlatih bagi membolehkan proses pembangunan semula di sana," katanya.

Mohamed Mustafa berkata, apa yang berlaku di selatan Filipina dan Sabah sekarang ini tidak akan menjejaskan pihak universiti bagi meneruskan pemberian biasiswa tersebut.

"Mereka (pelajar Mindanao) adalah kelompok lain. Kita nak bagi peluang kepada pelajar cemerlang di sana melanjutkan pelajaran di UUM dengan ditaja penuh oleh universiti," katanya.

Beliau berkata, biasiswa yang ditawarkan itu termasuklah pengecualian yuran pengajian dan yuran asrama serta RM800 sebulan sebagai wang sara hidup.

Katanya, pencerobohan pengganas Sulu dari selatan Filipina di Lahad Datu hanya melibatkan segelintir kelompok manusia dan ia tidak mewakili masyarakat Filipina yang cintakan keamanan dan mahu bersahabat dengan Malaysia.

"Jadi saya harap apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada hubungan antara Malaysia dengan Filipina dan kita telah buktikan hari ini dengan pemberian biasiswa penuh kepada pelajar dari negara tersebut," katanya. - 


Credit: BERNAMA

No comments:

Post a Comment