Thursday, 14 February 2013

Wajah kaku tarikan ramai


IA menempatkan 30 mayat yang diawet dan beberapa organ manusia. Memang menyeramkan dan meremang bulu roma apabila melihat wajah kaku yang tidak mampu berkata-kata.
Namun, di sebalik suasana menyeramkan itu, Muzium Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang sering menerima kunjungan orang ramai yang mahu melihat sendiri sistem tubuh manusia. 
Ini yang peliknya, walaupun ada yang ngeri melihat organ manusia dipamerkan di dalam balang kaca, muzium itu tetap menjadi pilihan mereka yang gemarkan biologi. 
Ketua Unit Sains Perubatan Asas UIAM, Prof Dr Pakeer Oothuman Syed Ahamad berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan muzium berkenaan adalah yang terbaik di pantai timur.

Beliau berkata, mayat yang diawet itu untuk kegunaan pelajar mendalami ilmu berkaitan tubuh badan manusia.

“Mayat berkenaan bukan menjadi ‘hak mutlak’ pelajar kuliyah ini kerana orang luar juga berpeluang bersemuka dengan mayat itu jika mereka berani untuk melihatnya. 

“Namun, mereka perlu mematuhi syarat ditetapkan pihak muzium, antaranya tidak dibenarkan mengambil gambar ketika berada di bahagian yang menempatkan mayat diawet itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Menurutnya, muzium menjemput pelajar tingkatan tiga hingga lima sekolah menengah sekitar bandar ini untuk melihat sendiri organ dalaman manusia termasuk jantung, paru-paru dan otak. 

Katanya, pihak muzium mahu memupuk minat terhadap bidang biologi di kalangan pelajar kerana kesedaran pelajar terhadap bidang berkenaan masih rendah. 

“Bidang biologi menarik kerana membantu kita mengenali dengan lebih mendalam tubuh kita yang sebelum ini tidak diketahui. 

“Kami juga mahu pelajar menjadikan bidang ini sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak,” katanya.
Credit: Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

No comments:

Post a Comment