Friday 15 February 2013

6 banduan lanjut peringkat sarjana


Kajang: Kehidupan di dalam penjara tidak mematahkan semangat enam penghuni untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di sebuah universiti tempatan. 

Ketua Seksyen Pemulihan dan Rawatan Jabatan Penjara, Darussalam Budin, berkata penghuni Penjara Kajang itu yang sedang menjalani hukuman jangka panjang akan memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Pengajian Perniagaan (MBA) bulan depan bagi kemasukan 2013/2014 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM). 

Dua kali sebulan 
Beliau berkata, sesi pengajian akan diadakan dua kali sebulan melalui pengajian jarak jauh dan mereka akan mengikuti pengajian itu di dalam penjara. 

Kumpulan yang mengikuti sarjana ini adalah yang pertama dan kita membuka peluang kepada sesiapa saja penghuni penjara yang berminat dan berkelayakan, katanya ketika ditemubual di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia (JPM) di sini. 

Sebelum ini, 14 penghuni di penjara berkenaan sedang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, manakala empat lagi melanjutkan pengajian pada peringkat diploma dalam bidang teknologi maklumat di universiti yang sama, sejak 2008. 

Sehubungan itu, JPM akan memperluas tawaran melanjutkan pengajian itu di semua zon penjara seluruh negara. 
Katanya, Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pelajaran juga menawarkan kepada penghuni yang berminat untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Credit: BERNAMA

No comments:

Post a Comment