Hadhrat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda bahawa Allah Ta’ala telah berfirman:
PENJELASAN HADITS
“Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingatiKu. Maka jika dia mengingatiKu dalam dirinya, Daku akan mengingatinya dalam DiriKu, dan jika dia mengingatiKu dalam jemaah manusia, Daku akan mengingatinya dalam jemaah yang lebih baik dari mereka; Dan jika dia mendekati kepadaKu sejengkal, Daku akan mendekati kepadanya sehasta; Dan jika dia mendekati kepadaKu sehasta, Daku akan mendekati kepadanya sedepa; Dan jika dia mendatangiKu sambil berjalan, Daku akan mendatanginya dengan berlari.”
PENJELASAN HADITS
Hadits ini telah diriwayatkan oleh Hadhrat Imam Bukhari Rahmatullah ‘Alaih dari ‘Umar bin Hafs dan beliau telah meriwayatkan dari bapanya dan beliau telah meriwayatkan dari Al-A’mash dan beliau telah mendenga riwayat ini dari Abu Salih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu dan beliau telah meriwayatka Hadits ini dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Hadits ini tergolong dalam Hadits Qudsi iaitu firman Allah Ta’ala kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang tidak termaktub di dalam Al-Quran bahkan ianya adalah ucapan yang diucapkan dengan gaya pengucapan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri.
Dalam Hadits ini, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman menerusi Kalam HaditsNya yang Suci bahawa Allah Ta’ala itu bertindak menurut sangkaan dan tindakan hambaNya terhadapNya. Allah berfirman: “Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu terhadapKu”, adalah memberikan penegasan bahawa setiap hamba Allah perlu memelihara segala sangkaan mereka terhadap Allah iaitu dengan sentiasa bersangka baik terhadap Rahmat dan keampunan dari Allah dan bersangka baik bahawa segala doa dan permohonannya yang baik itu didengari dan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jika kita menyangka bahawa Allah itu dekat, maka sesungguhnya Dia memang dekat bahkan lebih dekat dari urat leher dan jika kita menyangka bahawa Allah itu jauh dari kita, maka sesungguhnya diri kita itulah yang sebenarnya jauh dari Allah. Na’udzu Billahi Min Zalika!Seseorang hamba Allah yang beriman hendaklah menjauhi segala sangkaan yang buruk terhadap Allah dan memelihara adab-adab agar dia tidak terlempar jauh dari Rahmat Allah. Sangkaan seseorang hamba Allah terhadap
Tuhan Yang Maha Pencipta akan menentukan tindakan Allah terhadap dirinya kerana Allah sentiasa berserta dengan sesiapa sahaja di kalangan hamba-hambaNya yang mengingatiNya sepertimana FirmanNya: “Dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingatiKu”. Jika mereka lupa terhadap Allah, Allah tetap tidak akan melupakan hambaNya kerana Dia adalah Tuhan Yang Maha Pemelihara dan Dia adalah Maha Pemelihara lagi Maha Berkuasa atas sekelian makhluk ciptaanNya.Seterusnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Maka jika dia mengingatiKu dalam dirinya, Daku akan mengingatinya dalam DiriKu”. Sewaktu kita sedang berzikir mengingati Allah di dalam hati berseorangan diri, hendaklah kita sentiasa membayangkan sangkaan-sangkaan yang baik terhadap Allah iaitu seperti membayangkan limpahan Faidhz dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang sentiasa meliputi dan melimpahi diri kita dan begitu juga ketika menjalani kehidupan seharian, kita hendaklah memperingatkan manusia-manusia yang lain tentang Kebesaran dan Kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allah Subhanahu Wa Ta’ala seterusnya berfirman:
“Dan jika dia mengingatiKu dalam jemaah manusia, Daku akan mengingatinya dalam jemaah yang lebih baik dari mereka”, yakni jemaah Para Malaikat Muqarrabin yang sentiasa berada di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Apabila kita menceritakan tentang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada manusia, itu merupakan suatu Dakwah kerana kita menyeru manusia supaya mereka kembali mengingati Allah, Tuhan Pencipta dan Pemelihara sekelian alam.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan bertindak jauh melebihi tindakan kita terhadapNya. Perkataan yang menyeru manusia kepada Allah adalah merupakan perkataa nperkataan yang baik. Apabila kita mengingatkan manusia terhadap Kekuasaan dan Kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala, ianya akan menyebabkan diri kita diingati oleh Allah Ta’ala di dalam majlis Para MalaikatNya. Nama kita akan disebut-sebut oleh Allah Ta’ala di hadapan jemaah Para Malaikat yang jauh lebih baik dari jemaah para manusia.Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Dan jika dia mendekati kepadaKu sejengkal, Daku akan mendekati kepadanya sehasta”. Kerana itu hamba-hamba Allah yang Salih sentiasa berusaha mendekatkan diri mereka kepada Allah kerana dengan pengharapan dan usaha mereka yang sedemikian akan menyebabkan Allah bertindak jauh melebihi tindakan mereka terhadap DiriNya.
Apalah nilainya ingatan seorang hamba terhadap TuhanNya, dengan ingatan yang kurang sempurna dan penuh dengan kelalaian, namun meskipun ingatan hamba yang lemah itu hanya dilakukan di dalam hati, Allah Subhanahu Wa Ta’ala tetap mengetahuinya kerana Dia adalah Zat Yang Maha Mengetahui segala isi hati dan ingatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala selaku Tuhan Pemelihara sekelian alam terhadap hambaNya itulah yang paling bernilai.
Seterusnya Firman Allah Ta’ala: “Dan jika dia mendekati kepadaKu sehasta, Daku akan mendekati kepadanya sedepa”. Kata-kata ini menambahkan penjelasan tentang keluasan Rahmat Allah dan Dia Maha Dekat terhadap hamba-hambaNya yang sentiasa tekun berusaha untuk mendekatkan diri mereka epadaNya menerusi amalan amalan yang Salih.
Walau sejengkal kita bergerak untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala, Dia akan mendekati kita sehasta dan walau sehasta kita bergerak menuju kepadaNya, Dia akan mendekati kita sedepa. Kata-kata ini merupakan bentuk kiasan metafora bagi menunjukkan betapa cepatnya dan betapa berlipat-gandanya tindakan Allah Ta’ala terhadap hamba-hambaNya yang sentiasa sibuk mencari jalan untuk menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
FirmanNya: “Dan jika dia mendatangiKu sambil berjalan, Daku akan mendatanginya dengan berlari”, adalah bagi menjelaskan lagi tentang betapa cepatnya tindakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap tindakan hamba-hambaNya yang sedang menuju kepadaNya.Adapun, segala kata-kata ini adalah berbentuk kiasan sahaja namun memberikan pengertian maksud yang sebenar tentang Af’al perbuatan Allah kepada manusia iaitu tindakanNya jauh lebih cepat dan lebih baik mengatasi segala tindakan kita terhadapNya.
Kita menyangka bahawa kitalah yang terlebih dahulu melakukan tindakan mengingati Allah Ta’ala tetapi pada hakikatnya, Allah Ta’ala yang terlebih dahulu mengingati kita sebelum kita mengingati ZatNya kerana Dialah yang melimpahkan Taufiq dan Hidayah kepada kita agar kita dapat mengingati ZatNya dan menyebut NamaNya serta melakukan Ibadah mendekatkan diri kepadaNya.
Meskipun kita mengingati Allah, namun Allahlah yang terlebih dahulu ingat terhadap diri kita, kerana itulah Dia menggerakkan segenap hati dan fikiran kita agar tertumpu kepada ZatNya Yang Maha Agung agar kita dapat menyedari dan merasai bahawa Kekuasaan Allah adalah mutlak atas sekelian makhlukNya.
Allah Ta’ala menggunakan diri hambahambaNya untuk mensucikanNya, memujiNya, membesarkan DiriNya dan memperakui bahawa sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang berkuasa atas sekelian makhluk. Hadits ini menjadi suatu dorongan yang kuat bagi orang-orang yang beriman dan mencintai Allah untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya dengan mengikhlaskan amalan Agama sesuai dengan apa yang telah diajarkan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kita perlu sentiasa memikiri maksud Hadits ini dan sentiasa bersangka baik dengan Allah Ta’ala supaya kita tetap berada dalam golongan orang-orang yang sentiasa beroleh Rahmat dan pemeliharaan dari Allah. Dia adalah Maha Besar, Maha Benar, Maha Agung lagi Maha Mulia. Dia adalah Zat yang Wajibul Wujud, yang terhimpun padaNya segala sifat-sifat kesempurnaan dan suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan. Segala puji adalah bagi Allah Tuhan Semesta Alam.
No comments:
Post a Comment