Tuesday, 19 February 2013

MARI MELAWAT SABAH




Ia kaya dengan keindahan alam semula jadi termasuk kehidupan suku kaum etnik. 
NUR DHUHA ESOOF menyingkap penerokaannya ke Sabah, Malaysia.

Sabah: Negeri di bawah bayu


Bila sebut tentang negeri Sabah, Gunung Kinabalu yang tersergam indah pasti terbayang di fi kiran. Namun ramai pasti tidak tahu bahawa gunung yang berdiri 4,095 meter dari paras laut itu adalah gunung yang bersifat pemalu. Tidak mudah untuk melihat gunung tertinggi di Asia Tenggara itu kerana ia sering menyembunyikan diri di balik awan dan kabus. Saya diberitahu, jika saya bernasib baik, saya akan dapat melihat gunung itu.

pada awal pagi, ketika matahari terbit. Nasib saya kurang baik kerana sepanjang empat hari saya berada di Sabah, bayang Gunung Kinabalu pun saya tidak kelihatan. Namun begitu, Sabah kekal menawan dikelilingi gunung-ganang dan bukit bukau lain yang tidak kurang ketinggiannya.

LOKASI
Sabah terletak di utara Borneo dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia. Ia dikenali sebagai negeri di bawah bayu kerana kedudukannya berada di bawah laluan puting beliung. Selain gunung-ganang, Sabah turut dihiasi hutan-hutan tropika dan laut jernih yang merumahkan spesies binatang dan tanaman unik yang hanya boleh didapati di kawasan itu seperti bunga terbesar di dunia, Rafflesia. 
Lawatan sulung saya ke Sabah bermula dengan perjalanan dua jam menaiki kapal terbang Air Asia dari Lapangan Terbang Changi. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, saya menaiki sebuah teksi untuk ke Terminal Feri di Jesselton Point yang terletak 15 minit dari kawasan kota sebelum menaiki sebuah feri selama 15 minit untuk ke Pulau Gaya. Pulau Gaya adalah salah satu daripada lima pulau di Taman Marin Tunku Abdul Rahman dan adalah yang terbesar dengan keluasan 15 kilometer persegi.

BERANDA MENUJU KE LAUT!
Destinasi pertama saya adalah untuk ke Gayana Eco Resort (GER), sebuah resort lima bintang yang didirikan di atas air. Terdapat 52 vila di GER - dari kategori Rimba, Pantai, Bakau, Bayu dan Palm - dan kesemuanya didirikan di atas air berdekatan pantai. Ada yang menghadap ke laut, ada yang menghadap ke pantai dan ada juga yang menghadap ke hutan dan bakau. Sebelum dibawa ke bilik, 
saya dijemput makan malam di Restoran Alu-Alu yang menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuk yang pelik tetapi enak seperti gamat laut dan isi perut ikan. Malam itu, saya tidur di Vila Bayu yang menghadap lautan, dibuai bunyi ombak memukul pantai. Keesokan harinya pula, 
saya bangun awal dan melangkah ke beranda untuk melihat Gunung Kinabalu namun ikan-ikan kecil berwarna-warni yang berenang di bawah vila mencuri perhatian saya. Beranda tersebut mempunyai anak tangga menuju terus ke dalam laut. Jika saya pandai berenang, pasti saya terus terjun ke dalam air jernih yang memanggil itu!

SELAMATKAN YANG BAKAL PUPUS
Selepas bersarapan pagi, saya dibawa ke Marine Ecology Research Centre (MERC), sebuah pusat kajian ekologi kehidupan laut yang menjadi tunjang utama GER dalam misi menyelamatkan kehidupan dasar laut seperti kima gergasi (Giant Clams) yang kian pupus. 
Kima gergasi adalah moluska terbesar di dunia dan boleh hidup lebih seratus tahun. Ia boleh membesar sehingga 120 sentimeter dengan berat lebih 200 kilogram. Namun, kima gergasi kian pupus kerana ia dibunuh untuk dihidangkan sebagai makanan istimewa (delicacy) atau diambil sebagai afrodisiak sementara kulitnya dijual ebagai barang perhiasan.
Dari jauh, MERC kelihatan sama seperti vila-vila lain di GER tetapi di dalamnya terdapat ratusan anak kima gergasi yang diternak sebelum dilepaskan kembali ke laut. Kejayaan MERC membiak tujuh daripada lapan spesies utama kima gergasi di Malaysia telah diiktiraf Buku Rekod Malaysia sebagai pusat kajian pertama mengumpulkan hampir semua kima gergasi. 
Pengunjung ke MERC, termasuk saya, juga diberi peluang menanam serpihan karang di dalam bekas kecil yang kemudian dialihkan ke dasar laut. Serpihan karang itu akan membantu membangunkan semula terumbu karang, menjadikan dasar laut lebih selamat untuk kima-kima gergasi dan kehidupan laut lain.

BERSNORKEL DI AIR JERNIH
Dari GER, saya menaiki feri selama lima minit untuk ke Bunga Raya Island Resort (BRIR), sebuah resort yang turut dibina di Pulau Gaya tidak jauh dari GER. Berbeza dengan GER yang dibina di atas air, kesemua 47 vila di BRIR dibina di dalam hutan belantara. Memandangkan keadaan hutan agak membukit, ada vila terletak di kawasan lebih tinggi dan menggerunkan berbanding yang lain. Mujur vila saya terletak di kawasan paling bawah sekali berdekatan pantai. 
Setelah meletakkan beg di dalam bilik, saya dibawa menjelajah hutan yang terletak betul-betul di belakang vila. Dari ‘belakang’, saya lari ke ‘hadapan’, iaitu ke laut, untuk mencuba aktiviti snorkel dan bermain kayak. Berbeza dengan air laut di Singapura yang agak keruh, air laut yang mengelilingi Pulau Gaya berwarna biru kehijauan dan ia sangat jernih.
Walaupun masa untuk bersnorkel tidak panjang, saya berpeluang melihat pelbagai jenis ikan dari pelbagai saiz dan warna serta seekor kima gergasi di dasar laut. Malam itu, saya menikmati pelbagai hidangan barbeku seperti sate, ayam panggang, udang bakar dan bermacam-macam lagi di Pantai Grill, restoran BRIR berkonsep terbuka di atas pantai. 
Selesai makan, saya kembali ke bilik untuk berehat. Walaupun badan sudah mula sengal akibat aktiviti lasak yang dilakukan pada siang hari, agak sukar untuk saya pejamkan mata. Manakan tidak, fikiran asyik melayang ke hutan belantara di belakang vila. Namun tidak lama kemudian, desiran ombak dan nyanyian unggas berjaya juga melelapkan mata saya.

SAKSIKAN BUDAYA ETNIK
Keesokkan harinya, saya sekali lagi menaiki feri dan kali ini untuk pulang ke Kota Kinabalu. Di Kota Kinabalu, saya menetap di Le Meridien Kota Kinabalu, hotel empat bintang yang terletak dekat pasar kraf tangan dengan pemandangan indah Laut China Selatan. 
Dengan menaiki van, saya dan beberapa pelancong lain memulakan perjalanan 25 minit ke Perkampungan Budaya Mari-Mari yang terletak di kawasan hutan di Kionsom di Inanam. 
Di perkampungan itu, saya diperkenalkan kepada rumah-rumah tradisional masyarakat etnik Sabah iaitu Rumah Bajau, Rumah Lundayeh, Rumah Murut, Rumah Rungus dan Rumah Dusun yang telah dibina sendiri oleh puak-puak itu. 
Saya berpeluang melihat demonstrasi menyalakan api menggunakan buluh, membuat pakaian dari kulit pokok, mencuba meniup sumpit, menyaksikan persembahan tarian etnik dan bermacam-macam lagi.


KUNJUNGI DUNIA HAIWAN
Dari situ, saya bergerak pula ke Sungai Klias yang terletak di Kuala Penyu, Beaufort, perjalanan lebih dua jam menaiki van dari Kota Kinabalu. Sungai Klias sangat popular di kalangan pelancong disebabkan tarikan utamanya iaitu kera bekantan jantan atau Proboscis Monkey. Kera bekantan berwarna keemasan dan berhidung panjang itu hanya dijumpai di kawasan persisiran Borneo, di kawasan paya bakau dan hutan di pinggir sungai.
Selain kera tersebut, hutan bakau tebal di sepanjang sungai itu juga menjadi rumah kepada pelbagai jenis binatang lain termasuk beruk, biawak, ular pokok, helang dan juga buaya. 
Sambil mencari kera dan monyet, mata pemandu bot yang membawa saya dan pelancong lain melingas ke tebing sungai, mencari kelibat sang buaya. Tidak lama kemudian, burungburung berhenti berkicauan dan kera bekantan mula hilang daripada pandangan menandakan matahari mula terbenam. 
Pemandu bot tidak melepaskan peluang membawa kami ke satu lokasi ‘baik’ di sungai itu untuk melihat matahari terbenam sedikit demi sedikit sehingga hilang daripada pandangan. Namun keindahan Sungai Klias tidak terhenti di situ. Apabila senja mula melabuhkan tirainya, pokok pokok di sepanjang sungai, yang pada siang hari dihuni kera bekantan dan binatang-binatang lain, dihiasi cahaya dari ribuan kunang-kunang yang singgah di dahan-dahan.


MASUK KE PASAR
Hari terakhir di Kota Kinabalu, saya telah ke Pasar Jalan Gaya atau lebih dikenali sebagai Pasar Tamu di kalangan penduduk tempatan. Pelbagai barangan dijual di pasar yang dibuka setiap Ahad itu, seperti pakaian, mutiara, kerepek, kraf tangan, barang perhiasan dan bermacammacam lagi.
Dua jenis makanan yang harus dibeli pengunjung ke sana ialah Kuih Cincin dan Keropok Amplang, snek tradisional dari Sabah. Ternyata masa empat hari terlalu suntuk untuk menjelajah negeri Sabah. Terlalu banyak yang ada di sana untuk dilihat dan dicuba. Menyelam ke dasar laut, mendaki gunung tinggi, bersantai di tepi pantai, menikmati alam semula jadi dan mempelajari budaya tradisional orang Sabah, 
Semuanya boleh dilakukan di sana. Pendek kata, apa yang diinginkan, pasti boleh didapatkan di negeri di bawah bayu itu.

Credit: OLEH NUR DHUHA ESOOF

No comments:

Post a Comment