Thursday 21 February 2013

DRONE AS BUNUH 4,700 NYAWA


Senator dedah Drone AS telah membunuh 4,700 orang

Imej tidak bertarikh ehsan tentera udara AS menunjukkan sebuah pesawat drone MQ-1 Predator. - REUTERS

WASHINGTON 21 Feb. - Seorang Senator Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 4,700 orang terkorban akibat serangan bom pesawat tanpa pemandu (drone) milik negara itu, lapor media tempatan, semalam.

Ia merupakan kali pertama seorang penggubal undang-undang atau wakil kerajaan merujuk kepada jumlah korban serangan drone yang mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia sebagai pembunuhan di luar bidang kehakiman.

Bagaimanapun, angka sebenar korban beratus-ratus serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh drone ke atas suspek al-Qaeda di Pakistan, Yemen dan lain-lain negara kekal misteri, ketika pegawai kerajaan enggan secara terbuka membincangkan kempen rahsia tersebut.

Namun Senator daripada Parti Republikan, Lindsey Graham yang juga penyokong kuat kepada serangan drone, secara terbuka menyebut jumlah kematian akibat pengeboman itu.

''Kami telah membunuh seramai 4,700 nyawa,'' kata Graham ketika kenyataannya dipetik Easley Patch, sebuah laman web tempatan yang membuat liputan di bandar kecil Easley, di South Carolina.

''Kadang-kadang serangan bom itu mengenai orang yang tidak bersalah dan saya benci perkara itu. 

Namun kami kini dalam peperangan dan telah membawa keluar beberapa anggota kanan al-Qaeda,'' tegasnya lagi.

Pejabat Graham, bagaimanapun tidak mempertikaikan kenyataan Senator itu sebaliknya mencadangkan beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat rasmi kerajaan.

''Kini buat pertama kali, seorang pegawai AS telah meletakkan jumlah mangsa pengeboman drone,'' kata Micah Zenko, seorang Fellow Majlis Hubungan Luar.

Tambahnya, sekiranya terdapat anggaran jumlah kematian, ia akan diklasifikasikan sebagai rahsia sekali gus meningkatkan jangkaan bahawa Graham telah melanggar undang-undang kerahsiaan. - AFP

No comments:

Post a Comment