Thursday, 14 February 2013

Darjat paling tinggi berjuang tegakkan Islam


Abu Hurairah melaporkan, “Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan baik yang dapat disamakan dengan berjuang demi menegakkan agama Allah?” 

Nabi Muhammad menjawab: “Saudara semua tidak berupaya melakukannya. Mereka mengajukan soalan yang sama dua tiga kali lagi. Baginda masih menjawab: Saudara semua tidak berupaya melakukannya.” 
Akhirnya Nabi Muhammad menerangkan: “Orang yang berjuang demi mempertahan agama Allah, sama seperti orang yang berpuasa, melakukan sembahyang sunat pada waktu malam dan sentiasa mentaati arahan Allah, tanpa meninggalkan puasa dan sembahyang sama sekali, sehingga orang berjihad itu balik.” (Direkodkan Bukhari dan Muslim) 


Dalam laporan lain yang direkodkan oleh Bukhari dinyatakan: “Ada seorang lelaki bertanya: Wahai utusan Allah. Tunjukkan kepada saya satu amalan yang pahalanya dapat menyamai pahala berjuang mempertahankan agama Allah. Nabi Muhammad menjawab: Saya tidak berjumpa pun dengan satu amalan yang pahalanya dapat menyamai pahala berjuang mempertahankan agama Allah. Kemudian Baginda menyambung kata-katanya: Mampukah saudara sekiranya seorang pejuang keluar berjuang, saudara berada di tempat sembahyang saudara, saudara terus sembahyang tanpa berhenti dan saudara terus menerus berpuasa tanpa berbuka? Lelaki itu menjawab: Siapa yang mampu melakukan perkara seperti itu.” 

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad menerangkan: Percayalah, Allah menyediakan seratus tahap mulia orang yang berjuang kerana mempertahan agama Allah. Jarak satu tahap ke tahap yang lain sama seperti jarak di antara langit dan bumi.” (Direkodkan oleh Bukhari) 

Abu Said al-Khudri melaporkan, Rasulullah menerangkan: “Sesiapa yang ikhlas menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah, dia dimasukkan ke dalam syurga. Abu Said yang berada di situ hampir terkejut dengan kata-kata Rasulullah itu dan Abu Said menerangkan: Minta tuan mengulangi kata-kata itu untuk saya wahai urusan Allah. 

Lalu Rasulullah pun mengulanginya dan menambah: “Selain daripada itu, Allah mengangkat darjat seseorang itu sebanyak seratus darjat di dalam syurga. Jarak di antara dua darjat seperti jarak di antara langit dan bumi. 
Abu Said bertanya lagi: Amalan apakah yang perlu kami lakukan bagi mendapatkan kelebihan itu, wahai utusan Allah. Nabi Muhammad menjawab: Berjuang demi agama Allah. Berjuang demi agama Allah.” (Direkodkan oleh Muslim) 
Sumber: Riyadus Solihin Taman Orang Syurga

No comments:

Post a Comment