Friday 15 February 2013

Seramik China bermotif Islam


Rekaan seramik yang menggunakan gambaran sebuah keluarga yang mungkin terdiri daripada ibu, anak dan ayah. China, 1879 - 80 Masihi / 1297 Hijrah.

SERAMIK biru putih merupakan jenama yang dikenali di seluruh dunia sebagai barangan seramik bermutu tinggi dari China. Seramik merupakan satu produk seni yang dimonopoli oleh masyarakat China yang terkenal sejak zaman berzaman. Kemahiran yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi ditambah dengan minat dan perhatian yang diberikan oleh para pemerintah China menjadikan barangan seramik China terkenal sehingga ke wilayah Islam.

Seramik China pernah mencapai zaman kegemilangan di dalam beberapa dinasti China seperti Han (100 - 200 Masihi) dan Tang (618 - 906 Masihi). Begitu juga selepas kedatangan Islam pada tahun abad ke 7 Masihi, selain Tang, beberapa dinasti yang mempunyai rekaan seramik yang menarik ialah Song dan Yuan (960 - 1368 Masihi), serta Ming (1368 - 1644 Masihi). Setiap dinasti mempunyai pusat pengeluaran seramik diraja yang berlainan yang juga mempunyai ciri-ciri istimewa yang berlainan.

Sebelum seramik China diberikan nama mengikut warna dan cita rasa Eropah dengan kedatangan orang Eropah ke China yang meningkat pada abad ke 17 Masihi, dinasti Ming mempunyai satu jenis produk seramik putih yang dikenali di peringkat antarabangsa dengan nama Perancis Blanc de China . Kumpulan seramik ini mempunyai warna putih gading atau putih susu dan kosong tanpa hiasan.

'Famille rose' merupakan salah satu jenis seramik keluaran China yang mempunyai ciri-ciri istimewa terutamanya dari segi penggunaan warna di dalam hiasan seramik. Kumpulan seramik ini dikatakan menggunakan hiasan warna bunga ros seperti merah jambu dan merah kesumba di atas glis legap. Pilihan warna ini pada mulanya dikenali dalam bahasa Cina sebagai fencai (warna lembut) dan ia kemudiannya dikenali sebagai yangcai yang bermaksud warna-warna asing.

Ini kerana warna-warna ini mula digunakan sebagai hiasan di atas barangan logam seperti enamel dan cloisonné. Warna-warna ini juga dikatakan asing kerana ia diperkenalkan oleh orang asing yang datang ke China di akhir abad ke-17 Masihi di sekitar tahun 1680-an.

Jingdezhen merupakan sebuah tempat yang menjadi pusat pengeluaran seramik 'famillies rose' di bawah beberapa pemerintah Dinasti Qing seperti Tang Ying (1682-1756 Masihi), Qianlong (1735-1796 Masihi) dan Yongzheng (1722 - 1735 Masihi).

Sentuhan hiasan Islam digunakan bagi pasaran wilayah Islam. Antara motif hiasan yang sering digunakan ialah kaligrafi yang mengandungi kata-kata pujian atau nama pemilik. Ia juga menggunakan motif bunga-bungaan, buah-buahan dan geometri. Terdapat juga gambaran situasi kehidupan sesebuah keluarga yang memaparkan gambaran seperti ayah, ibu dan anak serta nenek.

Selain famille rose terdapat beberapa kumpulan seramik yang dikenali dengan ciri warna yang digunakan seperti famille verte yang berasal daripada seramik lima warna yang menggunakan warna merah dan hijau, famille noire yang menggenakan latar berwarna hitam dan famille jaune yang menggunakan latar berwarna kuning.

Pinggan-mangkuk merupakan barangan seramik yang paling banyak dihasilkan dan menjadi idaman di wilayah Islam dan Barat kerana kualiti dan hiasan seramik yang berkualiti tinggi dan menarik.

Rekaan set pinggan yang dibahagikan kepada bahagian-bahagian kecil yang digabungkan supaya menjadi satu pinggan yang besar merupakan satu rekaan yang menarik. Ia mungkin digunakan untuk hidangan juadah sampingan atau manisan di atas meja.

Seramik China berunsurkan motif Islam dipamerkan di galeri China dan juga di Galeri Seramik di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Credit:  ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA/Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment