Saturday, 16 February 2013

BERAKHIR SIKSA WANITA ANEH


Disemadi selepas 150 tahun


ANAKNYA mewarisi penyakit sama seperti Julia.



JASAD seorang wanita peribumi Mexico, Julia Pastrana yang popular dikenali sebagai wanita mawas, selamat disemadikan di tanah airnya sekali gus mengakhiri episod uji kaji oleh para saintis.
Julia yang lahir pada tahun 1834 menderita penyakit hypertrichosis yang menyaksikan pertumbuhan rambut secara berlebihan di tubuh dan gingival hyperplasia, iaitu pertumbuhan jaringan gusi yang berlebihan.
Kedua-dua penyakit tersebut menyebabkan Julia memiliki rambut berlebihan hingga ke wajahnya selain memiliki rahang yang sangat tebal.
Julia pernah menjadi bahan pameran dan dia telah diperiksa beberapa kali untuk menghapuskan tuduhan bahawa dia berketurunan Afrika.
Seorang penyelidik, Dr. Alexander Mott pernah mendakwa, Julia adalah hasil kacukan manusia dan orang utan.
Pelbagai pendapat diterima berkenaan keadaannya itu dan ada yang mengisytiharkan dia sebagai spesies yang berbeza.
Sepanjang hayatnya, Julia pernah mendapat jolokan, 'wanita beruang' atau 'wanita kera' hanya disebabkan dia sedikit berbeza berbanding manusia lain.
Pada pertengahan tahun 1850-an, Julia bertemu dengan seorang pengusaha, Theodore Lent, yang mengajarnya bernyanyi serta menari. Julia kemudian bekerja sebagai penyanyi dan penari berbayar dalam persembahan sarkas yang dianjurkan di Amerika Syarikat dan Eropah dengan nama jolokan, Wanita Berjanggut dan Bermisai.
Julia dan Theodore kemudiannya berkahwin tetapi dia meninggal dunia pada tahun 1860 di Moscow, Rusia ketika melahirkan anak lelakinya. Bayi Julia mewarisi penyakit sama tetapi anaknya itu meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Suaminya bertindak mengawetkan jasad Julia dan anaknya itu yang diletakkan di dalam kabinet kaca dengan bantuan seorang profesor di Universiti Moscow sebelum dibawa mengelilingi dunia untuk ditunjukkan dalam pertunjukan sarkas yang dianjurkannya.


JASAD Julia Pastrana diletakkan di dalam keranda berwarna putih yang dihiasi dengan rangkaian bunga mawar putih.



Theodore kemudiannya bertemu dengan wanita lain yang mempunyai ciri-ciri sama seperti Julia dan mengahwininya.
Dia menamakan wanita itu sebagai Pastrana Zenora dan menjadi kaya hasil daripada pameran sarkasnya itu.
Sikap manipulatif Theodore itu berakhir setelah dia dimasukkan ke sebuah hospital gila di Rusia dan meninggal dunia pada tahun 1884.
Selama beberapa dekad, jasad Pastrana dan anaknya itu berpindah tangan hingga akhirnya berakhir di tangan Universiti Oslo di Norway.
Pada 1994, Senator Norway mengesyorkan untuk mengebumikan jasad Julia tetapi Menteri Sains ketika itu memutuskan untuk mengekalkannya bagi membolehkan para saintis menjalankan penyelidikan.
Gabenor Sinaloa, Mario Lopez memberitahu, dia tidak dapat membayangkan ejekan dan kekejaman daripada orang lain yang harus dihadapi Julia ketika hayatnya dan bagaimana cara Julia mengatasi segala tomahan dan kejian yang dilemparkan kepadanya itu.
"Ini merupakan kisah yang sangat membanggakan. Ketika saya mendengar kisah tentang wanita yang berasal dari Sinaloa, Mexico, ini, terdetik di hati saya berkata, tidak mungkin dia ditinggalkan di dalam gudang di suatu tempat," ujarnya yang berjaya memujuk pemilik jasad Julia untuk memulangkan jasad wanita itu ke kampung halamannya untuk disemadikan.
Ketika jasad Julia tiba di kota Sinaloa de Leyva pada Selasa lalu, penduduk tempatan menyambut kepulangannya itu dengan memberikan penghormatan terakhir.
Jasad Julia diletakkan di dalam keranda berwarna putih yang dihiasi dengan rangkaian bunga mawar putih.
Menurut seorang seniman Mexico, Laura Anderson Barbata yang turut menyokong tindakan membawa pulang jasad Julia itu, upacara pengebumian jasad Julia sangat indah dan dia sangat terharu kerana akhirnya Julia pulang juga ke kampung halamannya biarpun setelah lebih 150 tahun dia meninggal dunia.

Credit: Kosmo

No comments:

Post a Comment