Friday, 15 February 2013

Memperkasa belia


Memperkasa golongan belia

penglibatan mahasiswa dari dalam dan luar negara diharap dapat memanfaatkan ilmu demi kemaslahatan umum.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Bertitik-tolak daripada hadis di atas itulah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Konvensyen Pendakwah Muda Institut Pengajian Tinggi ASEAN 2013 yang melibatkan seramai 1,000 mahasiswa dari luar dan dalam negara.

Konvensyen yang bertemakan, Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah berkenaan juga melibatkan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Yayasan Taqwa, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia dan Kumpulan Karangkraf telah berlangsung pada awal Februari lalu di Dewan Kuliah Pusat USIM.

Sebanyak 30 institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara termasuk universiti dari negara-negara Asean menyertai program berkenaan antaranya; Universiti Brunei Darussalam (Brunei), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (Brunei), Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah (Indonesia), Universitas Islam Bandung (Indonesia) dan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri (Singapura).

Pelbagai aktiviti telah disusun bagi mengisi program pada yang berlangsung itu seperti, pembentangan kertas kerja, rakaman Forum Perdana Ehwal Islam dan sesi bersama selebriti. Selain itu, ramai tokoh akademik turut dijemput, antaranya Prof. Datuk Dr. Sidek Baba (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaysia Kelantan) dan lain-lain untuk menyampaikan pengisian ilmu kepada mahasiswa yang hadir.

Yang menariknya program ini turut dibarisi ikon remaja dan artis terkenal tanah air seperti Ana Rafali, Sham Kamikaze, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Hizbur.

Konvensyen berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Datuk Ali Mohammed. Dalam konvensyen berkenaan, beliau telah melancarkan Kempen Mahasiswa Menolak Hari Valentine. - Jakim

No comments:

Post a Comment