Friday, 8 February 2013

Tembakan maut polis pencen



GAMBAR rakaman CCTV menunjukkan imej salah seorang perompak yang melarikan diri selepas ditembak Abd. Jalil.



TAIPING – Seorang pegawai polis pencen membuktikan yang dia masih berbisa apabila menembak mati seorang daripada empat penjenayah yang memecah masuk banglo dua tingkat miliknya dalam kejadian di Taman Pegawai Kerajaan, Assam Kumbang di sini semalam.
Abd. Jalil Abd. Wahab, 63, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Setar, Kedah membuktikan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai pegawai polis sebelum bersara pada 2005 memberinya kekuatan untuk menarik picu sepucuk revolver ke arah perompak dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu.
Bersara dengan pangkat Superintendan, Abd. Jalil memberitahu, kejadian berlaku apabila dia terjaga sebaik mendengar suara anak perempuannya, Jazlina, 28, memanggilnya keluar selepas mengetuk pintu bilik atas.
Katanya, dia yang curiga dengan nada suara anaknya itu kemudian telah membuka monitor kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik sebelum terkejut apabila melihat kelibat tiga lelaki berparang dan memakai topeng sedang berdiri di depan pintu. Seorang lagi berada berdekatan.
“Rupanya mereka telah menjadikan anak saya sebagai tebusan dan umpan untuk memanggil saya keluar. Tanpa ragu-ragu, saya mengambil sepucuk pistol yang disimpan di dalam almari.
“Sebaik pintu dibuka dengan perlahan, saya terus melepaskan tembakan ke arah mereka menyebabkan penjenayah bertempiaran lari. Saya kemudian keluar dan melepaskan satu das tembakan lagi ke arah mereka membuatkan mereka terus keluar,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, dia tidak mengejar perompak tersebut kerana hanya memikirkan keselamatan isteri, anak, menantu dan cucu. Semasa kejadian terdapat tujuh individu termasuk Abd. Jalil di dalam banglo tersebut.
Menurut Abd. Jalil, sebelum itu, perompak berkenaan masuk selepas mengumpil besi jeriji pintu utama. Mereka kemudian telah mengikat menantunya, Adi Hafiz Yusop, 34, dan cucunya, Arif Syazwan Mohd. Shariff, 12, yang sedang tidur di bilik bawah.


ABD. JALIL menunjukkan pagar yang dipotong oleh perompak sebelum menceroboh rumahnya di Taman Pegawai Kerajaan, Assam Kumbang, Taiping semalam.



Sementara itu, Jazlina memberitahu, sebaik dikejutkan perompak berkenaan, mereka telah mengikat tangan dan mulut suaminya menggunakan wayar seterika.
Katanya, perompak kemudian membawanya ke bilik anak saudaranya, Arif Syazwan sebelum dipaksa memanggil bapanya.
“Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu dan saya terpaksa kawal untuk mengelakkan keadaan menjadi kecoh.
“Saya bersyukur ayah berjaya menggagalkan usaha perompak berkenaan dan menyelamatkan kami sekeluarga,” katanya yang memberitahu perompak hanya berjaya melarikan dua buah telefon bimbit dan seutas jam tangan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Md. Diah berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan kemudian menemui mayat salah seorang perompak berkenaan di dalam kawasan semak kira-kira 150 meter dari banglo berkenaan.
“Mayat itu merupakan lelaki Indonesia berusia lingkungan 40-an. Kita sedang memburu tiga lagi rakannya,” katanya.
Tambahnya, perompak masuk ke kawasan banglo mangsa selepas memotong pagar rumah kosong bersebelahan. Rumah itu tidak berpenghuni selepas terbakar pada November tahun lalu.
Credit: AHMAD SYAKIR SAZILI

No comments:

Post a Comment