Tuesday 12 February 2013

UNIVERSITI ISLAM MAYA DITUBUH TAHUN 2014


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sebuah universiti Islam maya yang menggabungkan 285 universiti Islam daripada 51 negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), akan ditubuh pada tahun depan.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Zaleha Kamaruddin berkata, idea menubuhkan universiti yang dikendalikan Persekutuan Universiti-Universiti Islam Dunia (FUIW) itu bertujuan membantu mereka yang rendah taraf celik huruf selain menyebarluaskan ajaran agama Islam.

"Universiti maya ini hanya memerlukan mereka berinteraksi atas talian tanpa perlu ke luar negara untuk belajar di mana-mana universiti Islam.

"Pembelajaran akan dilaksana secara atas talian iaitu berkomunikasi melalui sidang video antara pelajar dengan pensyarah sesuatu subjek," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat ke-4 Lembaga Pemegang Amanah Universiti Islam Maya FUIW, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden FUIW, Dr. El Gharib Zaher Ismail; Pensyarah UIAM, Dr. Waleed Fekry Faris; wakil-wakil dari Universiti Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Universiti Islam Uganda; Universiti Kuwait dan Universiti Ekonomi Azerbaijan.

Menurut Zaleha, UAE merupakan penyumbang utama sumber kewangan untuk projek itu serta menyediakan kawasan bagi pembinaan ibu pejabat universiti maya tersebut.

"Penubuhan universiti maya ini diharap dapat menyediakan peluang pendidikan kepada semua orang tidak kira di mana pada setiap masa dengan kemudahan kos yang efektif.

"Universiti Islam maya ini juga merupakan usaha dalam menyumbang kepada perkembangan sains, seterusnya membangunkannya dengan nilai-nilai Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment