MATI! Itulah yang tergambar di fikirannya apabila pandangan menjadi kabur serta nafas menjadi lemah dan dia berdoa kepada Allah moga diberi peluang melepaskan diri daripada amukan gajah itu.
Itulah memori hitam dilalui Pembantu Hidupan Liar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Mazli Awang, 31, ketika nyawanya di hujung tanduk selepas diserang gajah jantan yang naik minyak di Santuari Gajah Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 2009.
Mazli yang ditemui di Kampung Ulu Seladang, Permaisuri, Setiu berkata, dia tidak menyangka gajah berusia lapan tahun yang diberi nama, Chalil tiba-tiba menyerangnya ketika melatih haiwan itu.
Menurutnya, gajah yang baru dipindahkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang ke santuari itu pada akhir Januari 2008 dianggap jinak serta mudah memahami arahan.
Menurutnya, gajah yang baru dipindahkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang ke santuari itu pada akhir Januari 2008 dianggap jinak serta mudah memahami arahan.
“Saya amat rapat dengan Chalil malah sentiasa menumpukan perhatian termasuk memberi makan, melatih serta memandikannya,” katanya.
Katanya, dia melatih Chalil tiga jam sehari supaya haiwan itu dapat mendengar arahan.
Detik ngeri itu berlaku tepat jam 8.45 pagi, 10 April 2009 ketika dia mengeluarkan haiwan itu dari kandang untuk dilatih tetapi secara tiba-tiba, gajah yang ditunggang menghumbamnya ke tanah dan menyondol bahagian rusuk kiri dengan gadingnya sepanjang 20 sentimeter.
“Tidak cukup dengan sondolan itu, Chalil yang hilang kawalan itu terus menyerang saya bertubi-tubi sebelum mematahkan tulang paha kanan dengan tapak kakinya.
“Ketika itu saya dapat rasa berat badan Chalil 1.8 tan dialihkan sepenuhnya ke atas paha kanan dan ketika itulah saya rasakan kematian semakin dekat.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan saya tidak dapat bergerak kerana seluruh tubuh kebas namun dalam kekalutan itu seorang daripada tiga rakan cuba mengalihkan perhatian Chalil dari menyerang saya,” katanya.
Mazli berkata, tindakan rakannya itu berjaya mengalihkan tumpuan gajah jantan berkenaan dan rakan lain yang berada di situ bergegas mengangkatnya yang berlumuran darah serta tidak sedarkan diri ke tempat selamat sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Kesan serangan itu, dia bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari dan dipindahkan ke Wad Ortopedik sebaik keadaan mula stabil.
“Doktor memberitahu tujuh tulang rusuk kiri dan paha kanan patah manakala paru-paru saya lebam disondol gajah menyebabkan saya memerlukan pembedahan untuk membetulkan tulang rusuk dan tulang paha yang patah itu.
“Dalam tempoh empat bulan berehat, isteri, ahli keluarga dan rakan-rakan banyak memberikan semangat. Berkat doa serta dorongan mereka, saya berjaya menghilangkan trauma yang menimpa.
“Walaupun kesan parut serangan gajah jelas kelihatan pada tulang rusuk dan paha, ia tidak menghilangkan semangat saya berdepan haiwan itu,” katanya.
Sementara itu, rakannya, Nordin Ibrahim, 56, berkata dia pernah diserang gajah pada 2 Ogos 1992 dalam operasi menangkap gajah liar yang merosakkan tanaman kelapa sawit di Ulu Seladang, Permaisuri, Setiu.
“Gajah itu tidak tumbang selepas ditembak ubat pelali malah mengamuk sebelum menyerang saya tidak jauh lokasi itu.
“Saya cuba menyelamatkan diri tetapi malangnya kaki saya tersangkut pada akar pokok dan tersembam di tanah membuatkan gajah itu terus memijak badan sehingga dua tulang rusuk saya patah.
“Kecederaan itu membuatkan saya terlantar dua minggu di HSNZ dan terpaksa mengambil cuti panjang,” katanya yang berkhidmat sebagai Pembantu Hidupan Liar sejak 1982.
Credit: Khairul Hamizy Ramlee
No comments:
Post a Comment