Pemurah Nabi SAW tiada tolok bandingan
MEMANDANGKAN kita masih berada di dalam bulan Rabiulawal di mana ia adalah bulan Baginda Rasulullah SAW diputerakan, maka penulis terpanggil untuk mentafsirkan ayat-ayat berkaitan dengan Baginda SAW agar kefahaman dan makrifah kita terhadap Baginda SAW akan lebih jelas dan difahami dengan sebaik mungkin.
Dalam siri tulisan kali ini, marilah kita bersama-sama menekuni sepotong ayat suci al-Quran yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)
Abu al-Hasan al-Nadwi berkata: Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda.
Jika anda fakir dan miskin, maka Bagindalah teladan dan contoh bagi anda.
Jika anda kaya, maka Bagindalah imam anda.
Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
Jika anda reda, maka Baginda SAW pun reda.
Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian juga halnya.
Sebagai contoh kepada ummahnya, maka Baginda SAW boleh dilihat untuk diambil pedoman dalam semua aspek kehidupan. Antaranya; sifat berani, pemurah, benar, beriltizam dan segala sifat-sifat yang baik.
Salah satu sifat Rasulullah SAW iaitu pemurah. Antaranya:
Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: Adalah Rasulullah SAW paling pemurah di kalangan manusia dan ia menjadi lebih pemurah jika pada bulan Ramadan selepas bertemu Jibril dan Jibril bertemu dengannya pada setiap malam daripada Ramadan untuk tadarus al-Quran. Adalah Rasulullah SAW lebih murah dan dermawan daripada angin yang bertiup ketika bertemu Jibril. (riwayat al-Bukhari (1902) dan Muslim (6149)
Jelas terbukti bahawa daripada hadis di atas menunjukkan Rasulullah SAW adalah sepemurah manusia. Sifat pemurah Rasulullah SAW bertambah, apa lagi pada bulan Ramadan.
Sifat pemurah Nabi SAW bertambah selepas bertemu Jibril AS. Di sini difahami bahawa apabila kita berada bersama orang yang baik sudah pasti semangat melaksanakan kebaikan akan bertambah berbanding dalam keadaan biasa.
Terdapat banyak nas yang menunjukkan kelebihan berinfak fi sabilillah, di samping sebagai mengikut jejak langkah Nabi SAW dan salafussoleh, antaranya:
Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 262)
Semoga kita sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan suri teladan dalam kehidupan kita. Amin.
Credit: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
No comments:
Post a Comment