Monday, 11 February 2013

BAYI DIBAHAM MUSANG


Foto
London: Seorang ibu terpaksa berdepan detik amat mencemaskan apabila bayinya dibaham seekor musang malam kelmarin.
Ibu mangsa, Hayley Cawley, berkata selepas membaham anaknya, haiwan liar itu cuba menggoyang-goyang dan menggonggong bayi berkenaan.

Kata Cawley, 28, banyak darah keluar akibat kecederaan dialami anaknya, Denny. “Musang itu membaham muka Denny dan menariknya keluar dari katil bayi sebelum cuba melarikan diri keluar rumah,” katanya.


Tindakan nekad Cawley berjaya menyelamatkan nyawa Denny.
Foto

Kata Cawley, dia menendang musang itu sekuat hati ketika haiwan berkenaan menggonggong Denny melalui pintu rumah. Akibat tindakan itu, katanya, musang berkenaan melepaskan gigitannya dan Denny dapat diselamatkan. Sementara itu, doktor mengesahkan bayi lelaki terbabit kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan empat jam untuk merawat mukanya.

Doktor juga berjaya menyambung semula satu daripada jari Denny yang putus digigit musang itu. Kata Cawley, ketika membawa Denny ke hospital dari rumahnya di Bromley di tenggara London, dia dan pasangannya, Paul Dolan, mempersiapkan fikirannya jika bayi terbabit gagal diselamatkan. Sementara itu, kakak Dolan, Lorraine Murphy, berkata tindakan pantas Cawley berjaya menyelamatkan nyawa Denny.

Foto
SEEKOR musang kelihatan mengintai dari belakang sebuah kereta tidak jauh dari rumah Denny, semalam.
Katanya, menendang badan musang itu adalah tindakan tepat bagi menyelamatkan Denny. Menurut Lorraine, 42, Denny diserang ketika dia ditinggalkan sendirian dalam katil bayi di ruang tamu rumah berkenaan. Katanya, Cawley hanya naik ke tingkat atas rumah berkenaan seketika apabila haiwan liar itu memasuki rumah itu. “Ketika ini Denny masih trauma, manakala Dolan belum mahu ditemubual,” katanya. Lorraine berkata, selepas pembedahan, doktor menjangkakan peluang Denny mampu menggunakan tangannya secara normal adalah 70 peratus. Katanya, dia membuat beberapa aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kerosakan bahagian belakang rumah mereka.

Kerosakan itu, kata Lorraine, menyebabkan haiwan liar berkenaan dapat menyelinap masuk. “Sehingga kini pihak terbabit belum membaiki kerosakan itu,” katanya.
Credit: The Sun

No comments:

Post a Comment