Tuesday, 12 February 2013

Lima minit waktu kritikal


Kuala Lumpur: Lima minit pertama ketika kebakaran adalah waktu kritikal dan mampu menyelamatkan nyawa mangsa daripada terperangkap, sekiranya kediaman mereka dilengkapi dengan sistem pengesan asap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, jika masyarakat prihatin terhadap aspek keselamatan, mereka hanya perlu melabur RM85 dan RM120 bagi memasang alat pengesan asap itu.

Menurutnya, dengan pelaburan itu tragedi seperti menimpa empat anggota keluarga yang rentung di Sungai Siput, Perak, mungkin dapat dielakkan.

Dalam kejadian 5 Februari lalu, empat beranak iaitu ibu berusia 50-an serta tiga anaknya berusia 16 hingga 23 tahun ditemui rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Bukit Medan, Sungai Siput.

Khiruddin berkata, karbon monoksida iaitu gas yang terhasil dalam kebakaran membuat penghuni tidak sedarkan diri sekiranya tiada amaran awal untuk mengejutkan mereka dari tidur.


“Kebanyakan punca kematian akibat kebakaran di rumah adalah penghuni tidak menyedari sesuatu kebakaran,” katanya.
Khiruddin berkata, daripada kajian dibuat, apabila berlaku kebakaran dalam tempoh lima minit, mangsa perlu segera keluar dari kawasan kebakaran itu.

“Kerana ketika itu tahap oksigen menurun kepada 16 peratus dan adanya toksin gas di situ dalam masa 30 saat hingga satu minit menyebabkan mangsa boleh pengsan. Gas berkenaan sudah diserap melalui pernafasan lalu pergi ke otak dan menyebabkan kegagalan otak berfungsi dan (mangsa diserang) sesak nafas.

“Berdasarkan laporan forensik hospital, kebanyakan mangsa yang mati disebabkan sesak nafas dalam asap. Api mengambil masa untuk membakar bahan dalam rumah, tetapi asap berkumpul lebih cepat akibat pembakaran kerana ia terperangkap dalam bangunan,” katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50 peratus tinggi sekiranya alat pengesan asap dipasang berbanding dengan rumah yang tidak memilikinya.

Justeru beliau menyarankan pemilik rumah memasang alat pengesan asap kerana ia mampu dimiliki selain membeli alat pemadam api yang dijual RM68 satu silinder bergantung kepada saiz dan berat.

“Walaupun bomba belum mewajibkan penggunaan alat berkenaan di rumah persendirian, masyarakat perlu tahu bahawa alat berkenaan memainkan peranan penting untuk menyelamatkan nyawa,” katanya. - 

Credit: Bernama

No comments:

Post a Comment