Saturday, 23 February 2013

Festival Layang-Layang Pasir Gudang



DSC_0060

SEORANG peserta berjaya menaikkan layang-layang yang bermotifkan bendera Johor sempena Festival Layang-Layang Sedunia Ke-18, di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 20 Feb. - Festival Layang-Layang Sedunia edisi ke-18 yang diadakan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang dekat sini, membuka tirainya hari ini dengan menyasarkan kunjungan kira-kira 100,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat dan pencinta layang-layang.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran berkenaan ekoran festival tersebut bukan sesuatu yang baharu malah mendapat sambutan hangat pengunjung dari dalam dan luar negara saban tahun.


"Pertandingan kategori sekolah dan kebangsaan sudah pun bermula hari ini dan kita jangka lebih ramai pengunjung akan hadir kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pesta kali ini ditambah dengan beberapa kelainan dalam festival.

DSC_0035

"Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sempena festival ini, antaranya pameran dan bengkel layang-layang, pertandingan membuat wau tradisional dan persembahan kebudayaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

DSC_0075

Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang merupakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama MPPG, Jabatan Pelancongan Negeri Johor dan Persatuan Pelayang Malaysia.


Acara selama lima hari itu disertai sebanyak 836 pelayang dari 36 buah negara seperti China, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Indonesia dan Brunei serta empat negara baharu iaitu Colombia, Rusia, Ukraine dan Zambia.

DSC_0234

Festival itu menyaksikan penyertaan sebanyak 236 pelayang antarabangsa dan 600 peserta tempatan terdiri daripada pelayang kebangsaan, pelajar sekolah dan pengadil Majlis Pelayang Malaysia.


Tambah On, buat pertama kali, festival tersebut akan diserikan dengan Pertandingan Layang-Layang Peringkat Sekolah ASEAN yang diadakan bermula hari ini dan esok.


"Pertandingan ini pertama kali diadakan dan sudah mendapat sambutan menggalakkan apabila tujuh buah negara iaitu Kemboja, Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun dan Vietnam dengan kira-kira 40 peserta," katanya.

1 comment: