MELAKA 12 Feb. - Beberapa jalan raya utama sekitar Banda Hilir mengalami kesesakan kenderaan sejak Jumaat lalu apabila ramai memanfaatkan cuti bersama keluarga di negeri ini sempena Tahun Baharu Cina.
Tinjauan mendapati jalan utama ke Banda Hilir terutamanya Jalan Bunga Raya, kawasan sekitar bangunan Stadhuys, dan Jalan Kaba sesak teruk.
Kawasan yang menjadi tumpuan pelancong terutama sekitar bangunan Stadhuys, A Famosa, Jonker Street, Menara Taming Sari dan Dataran Pahlawan mula dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara seawal pukul 10 pagi.
Melaka terkenal dengan sejarah dan tempat pelancongannya yang cantik dan menarik. Oleh itu anda tidak akan rugi jika melancong ke negeri Melaka. Antara tempat-tempat menarik di Melaka ialah:-
Zoo Melaka
Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Di sini terdapat lebih dari 214 spesies haiwan boleh ditemui di Asia Tenggara dan Afrika secara semula jadi.
Zoo ini dinobatkan sebagai zoo yang terbaik di negara Malaysia. Zoo Melaka dibangunkan di atas tapak 22 ha di Ayer Keroh, dalam tahun 1963. Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka tetapi pengurusan Zoo Melaka diambil alih oleh Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam tahun 1979.
Zoo Melaka telah berkembang dan kini menjadi zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara. Ketika ini, koleksi haiwan di Zoo Melaka berjumlah 1,200 spesimen daripada 215spesis haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia. Tarikan utama Zoo Melaka adalah Badak Sumatera, harimau belang, seladang, kijang dan rusa. Jumlah pelawat adalah kira-kira 400,000 orang setahun. Waktu terbaik untuk membuat lawatan adalah di waktu pagi ketika haiwan masih aktif menunggukan masa makan. Selepas makan, haiwan akan menghabiskan masa berehat ataupun tidur.
Zoo Melaka ada menganjurkan safari malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan pengunjung melihat tabiat dan telatah haiwan sewaktu malam antara jam 8:00 - 11:30 malam.
Menara Taming Sari
Menara Taming Sari merupakan menara pandang setinggi 110 meter yang terletak di Bandar Hilir, Melaka (bersebelahan Datara Pahlawan). Menara ini dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Menara ini merupakan menara berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia. Kos pembinaannya adalah sekitar RM 24 juta. Menara ini dibuka secara rasmi pada 18 April 2008. Rekaannya adalah berdasarkan reka bentuk Keris Taming Sari.
Ia mampu memuatkan sehingga 66 orang dalam satu-satu masa dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan harga tiket dewasa RM20, kanak-kanak RM10 dan warga emas RM17 seorang. Menariknya pemilik Mykad pula berpeluang mendapat potongan harga sehingga 50 % apabila menggunakan perkhidmatan ini. Menara tersebut yang dibina menggunakan kepakaran Switzerland mampu mengangkut seramai 240 penumpang dalam tempoh sejam. Satu sesi putaran akan mengambil masa kira-kira 7 minit.
Lokasi asal menara ini adalah di tebing Sungai Melaka (berdekatan Bangunan Stadthuys) namun dipindahkan di tapak baru di atas sebab tapak asal tersebut terdapat runtuhan tembok lama zaman Kesultanan Melayu Melaka selain memelihara geofak arkeologi tersebut. Di sini juga terdapat sebuah kafe yang diberi nama Taming Sari Cafe dan sebuah kedai cenderamata.
Melaka River Cruise
Alami pelayaran yang menakjubkan sejauh 9km menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit sambil menikmati pemandangan indah, bangunan dan rumah-rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia.
Kota A Famosa
Peninggalan Penaklukan Portugis Kota A Famosa ialah landmark negeri Melaka. Kubu yang dibina oleh kerajaan Portugis pada 1511 ini kononnya kebal menahan serangan pihak lawan yang datang dari arah laut. Namun kubu ini musnah akibat serangan bertalu-talu dari pihak Belanda tetapi bahagian depan Kubu ini masih kukuh tersergam sehingga ke hari ini. Kubu A’Famosa dibina daripada blok-blok batu merah yang tidak seragam bentuknya dan di hadapan kubu ini terdapat sebilah meriam besi yang digunakan pengunjung untuk bergambar sakan.
Bangunan Stadhuys
Merahnya Dataran Belanda Bangunan Stadhuy ini dikenali sebagai bangunan merah oleh penduduk tempatan. Dibina pada tahun 1650, bangunan ini merupakan rumah rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya. Di sekitar bangunan Stadhuys yang dipanggil Dutch Square ini terdapat gereja Christ Church yang berusia lebih 250 tahun, kolam air pancut dan sebuah kincir air seperti yang sering dilihat di negara Belanda. Bangunan Stadhuys sekarang menempat Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera untuk dikunjungi pelancong.
Jonker Street
Baba Nyonya dan Barangan Antik Peminat barangan antik dan mereka yang ingin mendalami kehidupan keturunan Baba dan Nyonya tidak boleh tidak pergi ke Jonker Street. Untuk merasai kemeriahan Jonker Street, datang pada malam Sabtu dan malam minggu kerana terdapat pasar malam yang sangat meriah. Di sini juga terdapat hotel-hotel berkonsep kehidupan Baba dan Nyonya yang boleh dicuba dan makanan popular keturunan Baba dan Nyonya seperti Ayam Pong Teh, Itek Tim dan Nyonya Laksa juga jangan dilupa. Membeli barangan antik perlu tahu tawar menawar dan jangan lupa bertanya tentang sejarahnya.
Dataran Pahlawan
Makan-Makan, Ole-Ole dan Macam-Macam Dataran Pahlawan ini attraction baru yang dibangunkan oleh kerajaan Melaka. Di bahagian atasnya terpusat tempat menjual cenderahati dan di dalam bangunan ini pula ialah pusat membeli belah yang menempatkan kedai-kedai berjenama popular. Di seberang jalan terdapat satu lagi pusat membeli belah lama yang juga masih popular iaitu Mahkota Parade. Kalau di waktu hujung minggu pasti sesak di kedua-dua mall ini.
Taman Buaya Melaka
Taman Buaya Melaka mempunyai kira-kira 100 spesies buaya dari serata dunia yang dipelihara dalam suasana yang hampir menyamai habitat semulajadi mereka.Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan dan pertunjukan yang dipersembahkan oleh penjaga buaya ini pada setiap hari Sabtu. Pertunjukan yang mendebarkan ini pasti akan membuatkan anda tidak senang duduk.
Tarikan terbaru di Taman Buaya yang menjadi salah satu tarikan utama kepada pengunjung ialah Taman Permainan Air. Terbuka kepada semua dan ia mempunyai keluasan 6000 kaki per segi dan kedalaman diantara 1.5' dan 2.5'.Tarikan lain di taman ini termasuklah rumah hantu dan pelbagai kemudahan rekreasi yang lain.
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah dan bersempadan dengan Port Dickson, Negeri Sembilan. Ianya tidak jauh dari bandar Melaka, iaitu kira-kira 20 minit menaiki bas. Pantai ini adalah kawasan rekreasi yang baru dibangunkan untuk memenuhi keperluan kemudahan kawasan rehat untuk sekeluarga.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti berkelah, menaiki bot, bermain layang-layang dan berenang (risiko adalah tanggungan sendiri). Terdapat juga perkhidmatan menunggang kuda, tetapi caj dikenakan.
Setiap pagi, ramai penduduk dari kawasan sekitar datang ke pantai ini untuk menangkap udang geragau (sejenis udang halus) yang banyak terdapat di sini, terutamanya pada bulan Ogos hingga Oktober. Ini adalah kerana aktiviti ini bermusim mengikut tiupan angin monsun.Geragau sangat popular di Melaka terutamanya untuk dibuat belacan dan cencaluk.
Sementara itu, pada setiap hari Ahad dari 4.30 petang ke 6.30 petang terdapat persembahan “Dondang Sayang†percuma.Banyak gerai-gerai makanan dan buah-buahan disepanjang pantai untuk kemudahan para pengunjung mendapatkan hidangan tanpa bersusah payah membawa bekal. Suasana di pantai ini menjanjikan kedamaian untuk anda melepaskan tekanan diri dan mendapatkan ilham baru.
Taman Rama-rama & Reptilia
Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi di kawasan Ayer Keroh adalah Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka yang menjadi tempat tinggal berbagai spesies rama-rama dan reptilia.
Selain rama-rama, yang merupakan hidupan utama di sini, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai jenis reptilia termasuk ular, labah-labah, kala jengking dan ratusan jenis serangga yang pastinya akan membuatkan pengunjung merasa geli geleman.
Menyaksikan reptilia ini secara dekat, terutamanya ular, tentunya akan membuatkan pengunjung lebih memahami kehidupan dan habitat binatang yang seringkali disalah anggap ini.
Credit: Mokhtar Travel & Tour - hztours/destinasiku
No comments:
Post a Comment