Thursday, 28 February 2013

Lari lintang-pukang dikejar gajah


Lenggong: Seorang penternak lembu lari lintang-pukang apabila mendapati seekor gajah liar meluru ke arahnya ketika dia mahu menyalakan unggun api berhampiran kandang ternakannya, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam di Kampung Bukit Sapi itu, Zainudin Ghazali, 56, sempat menyelamatkan diri.

Dia yang ditemui kelmarin berkata, ketika kejadian dia baru tiba di ladang ternakannya sebelum membuat unggun api, tetapi beberapa minit kemudian terdengar tempikan haiwan dan mendapati seekor gajah dewasa sedang menuju ke arahnya.
Dia kemudian terus berlari ke arah motosikal dan memecut kenderaan itu.

“Mungkin gajah itu tidak suka saya menyalakan unggun api. Saya kerap ke kandang ternakan waktu malam untuk menyalakan unggun api bagi menghalau binatang buas,” katanya.

Keesokannya Zainudin ke ladang ternakan dan mendapati sebahagian pagar kayu tumbang dirosakkan haiwan terbabit manakala 70 lembu miliknya yang diternak sejak 10 tahun lalu, hilang dipercayai melarikan diri ke dalam hutan kerana terkejut.
Menurutnya, itu adalah kejadian ketiga gajah liar menceroboh kawasan ternakannya selain puluhan anak lembu mati dibaham babi hutan sebelum ini.

“Saya percaya gajah itu dapat meloloskan diri dan masuk ke kandang ternakan saya berikutan pagar elektrik milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang dipasang di kawasan itu tidak berfungsi sejak sebulan lalu.
“Justeru saya berharap jabatan berkenaan menyelenggara pagar elektrik berkenaan bagi memastikan gajah liar tidak menceroboh masuk ke ladang kelapa sawit dan kawasan ternakan saya,” katanya.

Empat pegawai PERHILITAN cawangan Gerik dikerah ke lokasi kejadian petang kelmarin bagi berbincang dengan Zainudin mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment