Monday, 18 February 2013

BERDAKWAHLAH DENGAN BETUL


Dakwah dengan karya kreatif


HAMKA ialah seorang ulama tersohor Nusantara. Beliau bukan saja pemidato dan ahli politik malah penulis buku agama Islam termasuk novel-novel bertemakan keislaman yang mendapat sambutan dalam kalangan pembaca muslim dan bukan muslim.

Sebagai Muslim Hamka menyedari bahawa tugasnya bukan terhenti di situ tetapi perlu dipanjangkan sebagai khalifah yang perlu berdakwah kepada manusia. Kebolehannya berkarya digunakannya untuk melahirkan karya-karya berunsur dakwah.

Sejak berumur 17 tahun beliau telah menulis novel bertajuk Siti Rabiah. Bakatnya terserlah dan karyanya disukai pembaca tetapi sebagai anak keluarga ulama terkemuka aktiviti sasteranya tidak disukai oleh keluarganya. 

Tetapi sebagai anak berfikiran jauh Hamka berpendapat sastera boleh digunakan untuk berdakwah. Pada usia 30-an beliau terlibat secara lebih serius dalam bidang penulisan dengan menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat.

Pada tahun 1939 beliau menulis novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang terkenal itu. Hamka juga menulis cerpen dan dikumpul dalam buku Menanti Beduk. Selepas pulang dari Mekah beliau menulis novel Di Bawah Lindungan Kaabah. Hamka percaya novel-novel berunsur keagamaan yang dihasilkannya dapat membantu pembaca memahami ajaran Islam secara tidak langsung.

TokKenali1870-1933.jpg
Nama:Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tuk Kenali)

Menulis untuk berdakwah ini dilakukan juga oleh beberapa ulama lain termasuk Tuk Kenali dari Kelantan yang turut menulis syair dan mengendalikan majalah Pengasuh untuk menyampaikan dakwah melalui penulisan. 

Antara syair yang pernah ditulis oleh Tuk Kenali berjudul Bahaya Merokok berbunyi:
perokok itu hina
dungu, membazir dan keji
kerendahan budi bagi penagihnya
pasti darinya menguap kentut yang busuk
dan dilaknati
kepulan asap dari bibirnya mengasapi
muka dan tiada peribadi.

Raja Ali Haji


Tokoh ulama lain yang turut menyumbang buah tangan dalam bidang penulisan termasuk Dr.Sheikh Muhammad Idris al Marbawi yang melahirkan kamus al Marbawi dan kitab-kitab lain, Raja Ali Haji yang menghasilkan Tuhfat al Nafis, dan beberapa buku syair serta buku agama tokoh ulama ini tidak menulis novel seperti yang dilakukan oleh Hamka . Hamka ternyata mempunyai bakat kreatif melebihi daripada ulama-ulama lain.

 
Potret Syeikh Mohamad Idris al-Marbawi


Penulis generasi muda yang menurut langkah Hamka antaranya Habiburahman el Shirazy, Taufiqrahman el Azizy, Abidah el Khaliegy, Muhammad Masykur A.R.Said, dan lain-lain. 

Muhammad Masykur Said
Muhammad Masykur A.R. Said

Antara novel-novel Islamik yang dihasilkan ialah Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2, Ketika Cinta Berbuah Syruga, Di Atas Sejadah Cinta karya Habiburahman, Musafir Cinta, Shahadat Cinta, Munajat Cinta, Makrifast Cinta karya Taufiqrahman el Azizi.


Novel-novel cinta Islamik ini dihasilkan untuk tujuan menyampaikan dakwah kepada pembaca. Dakwah adalah peranan setiap umat Islam. 


Penulis yang dianugerah kebolehan menulis amat rugi kalau mereka tidak menggunakan kebolehan berkarya itu menghasilkan novel-novel berunsur dakwah. Setiap kerja yang kita lakukan di dunia ini akan ditanya di akhirat nanti.

Timbalan Mufti Selangor dalam satu kertas kerja berkaitan dakwah menyebutkan bahawa dakwah dari segi bahasa ertinya menyeru, mengajak, memanggil, menyampai dan mendorong. Perkataan lain yang seiring dengan dakwah adalah seperti al wazu. Al irshad,at tabligh dan lain-lain.

Dari segi istilah, ia boleh dimaksudkan sebagai mengajak atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran agar beroleh kejayaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dakwah mempunyai beberapa pengertian dan istilah, Perkataan dakwah itu berasal daripada bahasa Arab. Antara pengertian dakwah yang biasa kita fahami ialah seperti meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru, dan melaung. Dalam tafsiran mengikut ahli dakwah, perkataan tersebut mempunyai peristilahan dan maknanya yang tersendiri.

Yusuf 'Abdullah al-Qaradawi
يوسف عبد الله القرضاوي

Dr. Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah.

Daripada penerangan atau pengertian dakwah yang telah dijelaskan oleh beberapa tokoh di atas, boleh dibuat satu kesimpulan bahawa dakwah itu merupakan satu usaha untuk menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredaan Allah. Bidang penulisan adalah satu cara yang digunakan untuk menyampaikan dakwah. Tetapi sayangnya banyak penulis Islam masa kini jarang menggunakan penulisan untuk berdakwah kecuali beberapa orang sahaja. Ia bukanlah satu yang berat, kerana nasihat yang itu juga merupaakan satu dakwah.

Apabila seseorang itu terus merasakan diri masih tidak sempurna untuk memberi nasihat atau menyeru kepada kebaikan, sememangnya manusia ini semuanya tidak ada yang sempurna. Tetapi kita perlu ingat bahawa kita diberikan ilmu dan ilmu itu pula apabila diamal dan mengajak orang lain bersama-sama melakukannya ia merupakan satu dakwah atau satu kebajikan kepada umat Islam.

Menulis novel berunsur Islam adalah salah satu cara efektif yang boleh digunakan penulis untuk berdakwah. Untuk menghasilkan novel bertemakan keislaman, penulis itu sendiri perlu mendalami bidang agama atau sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan asas mengenai Islam terlebih dahulu. 

Malangnya penulis-penulis kita kurang kemampuan di bidang ini. Mereka lebih cenderung menghasilkan novel-novel cinta atau hantu yang tidak mampu memberi sebarang kebaikan kepada manusia.



No comments:

Post a Comment