Sunday, 24 February 2013

Marah biar bertempat

Rasulullah tidak kompromi jika hukum Tuhan dipersendakan

Meskipun Rasulullah SAW sering dihina, dicaci dan disakiti oleh kaumnya sendiri, namun Baginda SAW tetap bertahan tanpa bersungut atau menunjukkan emosi marah. Jika marah kepada seseorang, kemarahan Baginda SAW itu bukan marah melulu tanpa sebab musabab. 

Baginda SAW hanya marah apabila sesuatu hukum Allah dipersendakan. Ini yang mencetuskan rasa tidak senang dalam hati Baginda SAW. 


Isteri Baginda, Aisyah ada menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah marah jika disakiti. Namun, jika hukum Allah dilanggar, maka Baginda akan marah kerana Allah.” (Riwayat Muslim) 


Kita mengetahui betapa kental kesabaran Baginda ketika menjalankan usaha dakwah. Baginda dilayan dan diperlakukan dengan pelbagai tindakan keji di luar sifat kemanusiaan dan ketamadunan manusia. Pun begitu, Baginda SAW tetap cekal. 

Aisyah ada membawa satu kisah perbualannya dengan Baginda SAW. Dikatakan Aisyah ada bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah engkau pernah mengalami hari yang lebih dahsyat daripada waktu Perang Uhud? Lalu Baginda menjawab: Sungguh aku pernah menerima perlakuan daripada kaummu yang lebih menyakitkan daripada itu, dan yang paling menyakitkan adalah pada saat Hari Aqabah.” 

Seterusnya Baginda SAW menyambung jawapannya: “Ketika itu aku minta tolong pada Ibnu Abdi Halil bin Abdi Kulal, tetapi dia tidak memenuhi apa yang aku inginkan. Maka akupun pergi dengan perasaan sangat sedih. Aku berjalan tanpa sedar ke mana aku melangkah dan baru sedar saat berada di hujung bukit. Lalu aku mendongakkan kepalaku ke langit, tiba-tiba aku dinaungi awan di atasku. Akupun melihat ke arah awan, ternyata ada malaikat Jibril di sana. Dia memanggilku dan berkata: Wahai Muhammad. 


Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu dan apa yang mereka lakukan terhadap dirimu. Sesungguhnya Allah telah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu supaya engkau perintah dia apapun yang engkau mahu.” 

Baginda SAW meneruskan kisahnya: “Kemudian malaikat penjaga gunung itu memanggilku sambil mengucapkan salam kepadaku. Dia berkata: Wahai Muhammad. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung dan Tuhanku telah mengutusku kepadamu supaya engkau menyuruhku untuk berbuat apa saja yang engkau kehendaki. Kalau engkau mahu akan aku timpakan dua gunung ini pada mereka.” 


Lalu Baginda menjawab pelawaan malaikat itu: “Jangan. Justeru aku berharap supaya Allah mengeluarkan daripada keturunan mereka orang yang menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.” 

Lihatlah betapa agung sikap Baginda SAW yang masih bertahan untuk tidak bertindak balas terhadap kaumnya, meskipun Baginda SAW mampu merealisasikannya lantaran adanya pertolongan daripada malaikat. Ini sikap luar biasa yang seharusnya kita manusia biasa teladani. 

Corak pemikiran dan tindakan berhemah Baginda SAW ternyata membawa kejayaan apabila berduyun-duyun kalangan kaum Baginda yang menerima Islam. Justeru, dapat dikatakan pendekatan yang Baginda SAW ambil tadi adalah langkah pandang ke hadapan, bukan melihat dari sudut jangka pendek semata-mata. 

Sesungguhnya mencetuskan emosi kemarahan menggambarkan bahawa seseorang itu kurang matang bertindak dan tidak mampu mengawal daya fikir yang bijaksana. 

Satu lagi kisah yang menunjukkan sikap marah Nabi SAW yang ada kaitan dengan urusan agama ialah cerita Abu Mas’ud Al-Anshari yang meriwayatkan: “Ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Kata lelaki itu dalam aduannya: Sesungguhnya aku sering terlewat solat jemaah Subuh disebabkan si polan yang suka memanjangkan solatnya bersama kami.” 

Credit: Rizal Azman Rifin
Menurut Abu Mas’ud, dia tidak pernah melihat Baginda SAW begitu marah seperti hari itu. 
Seterusnya Abu Mas’ud memaparkan maklum balas Baginda Rasulullah SAW terhadap aduan lelaki itu. 
Sabda Baginda SAW: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya di antara kamu ada yang suka membuat orang lari daripada agama. Oleh sebab itu, siapapun di antara kamu yang menjadi imam solat, maka hendaklah dia meringankan bacaan solatnya. Sebab di belakangnya ada orang tua, anak kecil dan orang yang mempunyai keperluan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Meskipun Baginda SAW marah selepas menerima aduan sahabatnya, tetapi Baginda SAW menjelaskan kemarahan Baginda SAW dengan menampilkan sebab musababnya. Segala amalan dan sikap yang ditunjukkan Baginda SAW seharusnya kita contohi. 

Apatah lagi dalam masa mutakhir ini, kita sering kali dipaparkan dengan banyak insiden negatif akibat sikap luahan emosi marah tanpa kawalan. Kualiti iman dan indeks takwa semakin terhakis jika emosi marah dibiarkan bermaharajalela sehingga kita tenggelam dalam hasutan nafsu amarah. 
Dalam aspek mempersendakan urusan agama janganlah pula mengambil sikap diam membisu seribu bahasa atas alasan tidak ingin menimbulkan kemarahan.

No comments:

Post a Comment