Wednesday 20 February 2013

kehidupan harmoni bersandarkan al-Quran


Membaca al-Quran setiap kali solat yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan khususnya kepada pelajar. Otak yang segar akan terpancar daripada kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam. 

Hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana menghapuskan karat itu? Jawab Nabi SAW: Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Umar).

 
Memilih gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan corak kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau kecenderungan minat.

Kesempurnaan jiwa bermula daripada kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah. Hayatilah maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa dengan menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan. 


Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Al-Ra‘ad, ayat 28)


Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala. Aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat ad Darimi Tarmizi) 

Dewasa ini, banyak remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang dicari dalam bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama.

Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah kehancuran. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi daripada ibu bapa lebih bersandarkan kepada nama saja.

Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak belajar mengaji al-Quran tetapi bagaimana mendorong mereka memahami maksud al-Quran dan boleh menerapkannya sebagai asas pemikiran serta perlakuan.

Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya.

Daripada Abu Musa Al Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (limau besar), baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar yang tidak ada bau tapi rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari dan Muslim.


Credit: Hashim Ahmad.

No comments:

Post a Comment