Thursday 28 February 2013

"Tentera Diraja Sulu" berdegil



DAVAO CITY, Filipina 28 Feb. - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III (gambar) di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan oleh adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17 di Tungku, sebuah kampung di daerah Tanduo di Lahad Datu yang dicerobohi mereka pada 9 Februari lalu.

Dalam satu sesi temu bual bersama sebuah stesen radio Sabah, Agbimuddin berkata, sebarang rundingan untuk menyelesaikan isu berkenaan perlu melalui rundingan dengan Sultan Sulu iaitu abangnya, Jamalul.

Kumpulan askar yang diketuai Agbimuddin telah berkubu di Tanduo sejak 9 Februari lalu dan enggan meninggalkan kawasan itu, walaupun pasukan keselamatan Malaysia telah mengepung kawasan itu, tiga hari kemudian.



Agbimuddin mengulangi kenyataannya sebelum ini yang meminta sebarang rundingan perlu melalui abangnya di Manila.

Dalam pada itu, Agbimuddin berkata, mereka mungkin kekurangan bekalan makanan dan beberapa keperluan lain, namun masalah itu tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus bertahan di Lahad Datu.



"Tuntutan kami masih sama, Malaysia perlu mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.



"Saya akan terus berada sini (Lahad Datu) selagi tidak menerima arahan daripada abang saya untuk berundur," katanya.

No comments:

Post a Comment