Sunday 24 February 2013

Tragedi hiperaktif


ATTENTION deficit hyperactivity disorder (ADHD) merupakan penyakit psikiatri yang paling banyak berlaku di kalangan kanak-kanak sekolah.

Penyakit ini selalunya banyak dikesan oleh guru sekolah berbanding ibu bapa disebabkan oleh tingkah laku kanak-kanak ini yang jauh berbeza dengan pelajar-pelajar lain semasa di dalam kelas.

ADHD mempunyai perkaitan genetik yang kuat. Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap tingkah laku hiperaktif anak-anak ini sebagai normal kerana mereka juga pernah menunjukkan tingkah laku yang hampir serupa semasa kecil.

Bezanya, jika dahulu si bapa suka memanjat kerusi meja di rumah dan terjun melalui tingkap rumah kampung setingkat tetapi kini anak mereka membuat perlakuan sama di rumah mereka yang terletak di tingkat tujuh atau 18 pula yang berkemungkinan besar akan berakhir dengan tragedi.

ADHD menjejaskan daya tumpuan belajar. Jika di zaman bapa mereka dahulu kanak-kanak sebegini selalunya akan tercicir dari persekolahan.
Bagaimanapun, apabila dewasa mereka masih boleh menyara diri dengan membuat kerja-kerja kampung.

Tetapi pada waktu sekarang, semua kanak-kanak perlu melalui sistem formal persekolahan untuk menentukan kerjaya masa hadapan.

Ini menunjukkan bukti mengapa kanak-kanak yang mengalami penyakit ini perlu dikesan lebih awal dan dirawat dengan cara yang betul.

Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 4.3 peratus kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur lima hingga 15 tahun mengalami penyakit ini. Kebanyakannya adalah lelaki.

Cuai menyiapkan tugasan

Kanak-kanak ADHD mempunyai masalah memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Guru biasanya akan perasan yang mereka selalu membuat kesilapan atau cuai ketika menyiapkan sesuatu tugasan.

Kanak-kanak ini juga selalu mengelak membuat kerja rumah yang memerlukan tahap ketekunan tinggi seperti di dalam matapelajaran Matematik atau Sains.

Akibatnya mereka tidak menyiapkan tugasan dan lebih rela dimarahi guru.
Kanak-kanak ini juga tidak mampu duduk diam dan mendengar dengan bersungguh-sungguh jika diberikan nasihat.

Alatan persekolahan yang diperlukan untuk membuat tugasan persekolahan seperti buku, pensil dan pemadam juga selalu hilang.

Mereka juga tidak mengingati jadual harian mata pelajaran persekolahan.
Tingkah laku hiperaktifKanak-kanak ADHD tidak boleh diam di tempat duduk. Mereka kelihatan resah gelisah sambil melihat tangan dan kaki sendiri.

Adakalanya mereka dengan selamba meninggalkan kelas walaupun sesi pembelajaran belum habis.

Mereka berlari dan memanjat tidak kira keadaan walaupun semasa guru mengajar di hadapan.

Mereka banyak bercakap dan jika bermain bersama rakan, mereka gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Menyampuk perbualanKanak-kanak ADHD juga menunjukkan tingkah laku impulsif. Ini boleh dilihat apabila mereka suka memberikan jawapan secara melulu sebelum soalan habis ditanyakan. Mereka juga suka menyampuk perbualan orang tua.

Mereka mengganggu kanak-kanak lain bermain dengan menyelit di tengah-tengah permainan.

Mereka tidak boleh menunggu giliran. Mereka dilihat kerap memotong barisan semasa beratur membeli makanan di kantin.

Ini bahaya kerana ada kes yang berakhir dengan tragedi jalan raya apabila kanak-kanak ini juga tidak mahu menunggu sehingga keadaan benar-benar selamat sebelum melintas.

No comments:

Post a Comment