Wednesday 27 February 2013

Filipina tolak desakan Sultan Sulu


Jamalul Kiram III
Jamalul Kiram III mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh pengikutnya di Taguig, selatan Manila baru-baru ini. - Foto ihsan philstar.com/Nation
MANILA - Kerajaan Filipina menolak bulat-bulat permintaan Sultan Sulu Jamalul Kiram III agar Malacanang mengadakan perbincangan dengan Malaysia dan mengiktiraf tuntutan pihaknya ke atas Sabah.

Sebaliknya Manila mahu pengikut Sultan Sulu dipanggil balik dari Lahad  Datu, yang diceroboh 12 Februari lalu.

Edwin Lacierda, jurucakap Presiden Filipina berkata, kerajaan negara itu tidak akan mengadakan perundingan berkenaan isu Sabah kecuali Sultan Sulu membawa balik kumpulan penceroboh terbabit dari wilayah Malaysia.

"Jangan mengharapkan kami datang dan bercakap dengan anda. Ia seolah-olah mendesak kami.

"Ia tidak boleh diterima. 'Bumalik kayo rito" [balik ke tanah air] dan kami akan berbincang dengan anda," kata beliau dipetik portal Manila Times semalam.

Katanya: "Bekerjasamalah dengan kami. Kami akan bercakap dengan anda."

Beliau seterusnya berkata, "jangan menghala senjata di kepala saya dan berunding. Ia bukan cara mengadakan perundingan."

Lacierda juga berkata, "anda mahu kami memahami tuntutan anda, anda perlu kerjasama. Presiden telah mengatakan bahawa 'balik dan kita akan bercakap."
Kelmarin, Presiden Benigno Aquino mengeluarkan amaran keras ke atas Jamalul Kiram dan pengikutnya bahawa mereka boleh didakwa telah melanggar peruntukan perlembagaan negara itu.

Aquino juga menggesa Jamalul Kiram mengarahkan adik dan pengikutnya meninggalkan Sabah supaya tindakan mereka  tidak menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Filipina.

Semalam, Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario juga berkata, beliau sekali lagi meminta Malaysia melanjutkan masa, empat hari yang diminta hujung minggu lalu, bagi kumpulan penceroboh berkenaan meninggalkan Lahad Datu.

Credit: Sinar

No comments:

Post a Comment