Thursday, 7 February 2013

FADHILAT BERWUDUK



Wuduk adalah wasilah syarak terpenting untuk menghilangkan hadas kecil daripada anggota supaya seorang Muslim menjadi suci dan menunaikan perbuatan yang disyaratkan baginya taharah. 

Wuduk dari segi istilah Wuduk pada istilah ialah perbuatan menggunakan air pada anggota tertentu dan ia mempunyai syarat, fardu serta sunat. 



Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (pada hal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah, ayat 6) 

Bukhari meriwayatkan sifat yang lengkap bagi wuduk Rasulullah SAW dengan menjelaskan fardunya, sunatnya dan fadilatnya, daripada Usamah bin Affan: Saidina Usman bin Affan telah meminta air untuk berwuduk, setelah itu beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri sama seperti membasuh kaki kanannya. 


Kemudian Saidina Usman berkata: Aku pernah melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar Baginda bersabda: Sesiapa yang mengambil wuduk seperti aku berwuduk kemudian dia menunaikan solat dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan solat, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. 

Enam fardu wuduk 


Fardu wuduk ada enam iaitu niat, membasuh muka, membasuh dua tangan hingga siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kaki hingga buku lali dan tertib. 

Sunat wuduk banyak dan dianjurkan melakukannya antaranya membaca bismillah pada awalnya, membasuh kedua-dua belah tapak tangan, menggunakan siwak, mencelah-celahi janggut yang lebat, menyapu seluruh kepala, menyapu kedua-dua belah telinga, membasuh sebanyak tiga kali dan mendahulukan yang kanan. 

Sumber: Ensiklopedia Solat Mazhab Syafie

No comments:

Post a Comment