Friday 8 February 2013

Umat Islam diseru kuasai ilmu


Razali Shahabudin (dua dari kiri) menyampaikan sijil dan replika cek kepada Zakaria Yahya (tengah).

UMAT Islam diseru mengembalikan martabat maruah agama tauhid itu di sisi pandangan masyarakat dunia menerusi cara menguasai ilmu dunia dan ukhrawi bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan yang pernah dicapai oleh umat Islam pada suatu ketika dahulu. 

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin berkata, umat Islam perlu mengatur langkah memulakan penghijrahan minda supaya menapak lebih maju ke hadapan bagi menyahut segala cabaran pada masa akan datang. Tambah beliau, untuk melalui tanggungjawab tersebut, umat Islam mesti mencontohi keperibadian Rasulullah apabila baginda berjaya membimbing dan mentransformasikan minda masyarakat Arab ketika itu ke arah fitrah manusia dengan berpandukan wahyu Ilahi.

"Kita dituntut berpegang teguh kepada al-Quran dan al-sunnah bagi memastikan hala tuju hidup berada di landasan sewajarnya. Ini kerana Islam menuntut umatnya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi meraih kemajuan dan keteguhan ekonomi berpaksikan syariat.

"Dalam kata lain, peradaban yang dibina perlu diiringi dengan usaha gigih bagi membangunkan ekonomi dan teknologi dengan mempunyai roh serta kekuatan hakiki berpaksikan tauhid. Inilah yang sepatutnya kita sebagai umat Islam harus perjuangkan bagi melahirkan generasi umat yang bertamadun dan berkualiti daripada segala aspek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1434H/2013 Masihi di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Razali berkata sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada bulan Rabiulawal pada setiap tahun diharap menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk meletakkan agama tauhid yang dianuti mereka kepada peringkat paling tinggi sebagaimana disebut dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama persekutuan.

Tambahnya, justeru itu, apa yang diharapkan agar penganjuran sambutan Maulidur Rasul seperti mana dianjurkan oleh pelbagai pihak dapat menyedarkan umum dengan mencontohi akhlak Nabi SAW dalam memperbaiki perilaku dan meneguhkan jati diri sebagai Muslim.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan itu kemudian diserikan dengan persembahan oleh bekas penyanyi irama dangdut, Iwan atau Wan Syahman Wan Yunus yang menyampaikan beberapa lagu berunsur mesej dakwah yang disaksikan oleh kira-kira 1,000 orang ramai.

Pada tahun ini, Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan diterima oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang membawa pulang piala iringan, sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak RM10,000. Penghargaan berkenaan disampaikan kepada Yang Dipertua Pertis, Zakaria Yahya.

Pertis merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1996 dan berteraskan perkhidmatan sukarela yang ditubuhkan atas inisiatif orang kurang upaya penglihatan yang beragama Islam.

Selain menganjurkan pelbagai program berorientasikan kebajikan dan dakwah, Pertis juga bertanggungjawab sebagai perintis kepada penulisan dan penerbitan naskhah al-Quran Braille berkomputer pertama di dunia. Pertis juga memberikan sumbangan kepada penciptaan bantuan mengajar braille secara elektronik yang pertama di dunia menerusi kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Credit: 
JUANI MUNIR ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment