Saturday, 23 February 2013

'ALLAH makbulkan doa kami'


'ALLAH makbulkan doa kami'
Riduan (tengah) ceria berada di samping kedua ibu bapanya selepas lima tahun berjauhan gara-gara tersesat sehingga ke Jerantut, Pahang.
FELDA CERUL – “Walaupun orang ramai membuat macam-macam andaian termasuklah memberitahu anak saya telah meninggal dan dilarikan makhluk halus, tetapi saya tidak percaya semua itu."

Demikian luah Ramlah Yaakob, 54, yang terlalu gembira apabila anaknya yang hilang lima tahun lalu dijumpai semula.

Riduan Mat Salleh, 33, yang menghidap sindrom down, hilang tanpa sebarang khabar berita sejak 28 Februari 2008 dan ramai beranggapan dia telah meninggal dunia.

Meskipun banyak andaian dibuat, namun Ramlah berkata, naluri keibuannya kuat mengatakan anaknya itu masih hidup dan akhirnya ia jadi kenyataan apabila dia sekeluarga kembali bertemu Riduan yang berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman, minggu lalu.

Ramlah berkata, dia sekeluarga bersyukur kerana doa agar anaknya itu kembali semula ke pangkuan keluarga dimakbulkan ALLAH SWT.

“Dalam tempoh Riduan hilang, pelbagai ikhtiar kami lakukan. Selain berusaha mencarinya, kami juga mendapatkan khidmat beberapa pengamal perubatan tradisional dan kebanyakannya menyatakan anak kami masih hidup, cuma lokasi dia berada tidak diketahui.

"Alhamdulillah, akhirnya Riduan ditemui dalam keadaan selamat dan saya tidak dapat gambarkan bagaimana kehidupannya sepanjang berjauhan dari kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Felda Cerul, semalam.

Tak boleh balik, wang saku habis

Walaupun tidak normal, namun Riduan masih boleh bertutur dengan baik serta boleh mengingati peristiwa lalu.

Menceritakan dari awal, Riduan berkata, pada hari dia hilang, dia menaiki bas untuk ke bandar Chukai dan apabila tiba di sana, dia sekali lagi menaiki bas tanpa mengetahui hala tujunya.

“Perjalanan yang saya lalui agak menakutkan sebab bas melalui jalan di bawah terowong. Bila tiba di Jerantut, Pahang saya tak boleh balik sebab duit (wang saku) habis.

“Bila rasa lapar saya pergi ke kedai makan dan pemilik kedai bagi makan, masa itu saya tak tahu nak pergi mana,” katanya.

Setelah hampir sembilan bulan merayau-rayau di kawasan sekitar Kampung Paya Dalam, Jerantut, Riduan akhirnya ditangkap polis kerana kesalahan merayau-rayau di kawasan kampung sebelum dihantar ke Desa Bina Diri, juga di Jerantut.

Setelah dikenal pasti keluarga dan waris kepada Riduan, pihak JKM di sana menghubungi Ramlah sekeluarga dan menyampaikan perkhabaran gembira.

Tiada petunjuk, keluarga hampir putus asa

Sementara itu, bapanya, Mat Salleh Abbas, 73, berkata, sejak kehilangan anaknya itu, dia berusaha mencari dan setelah hampir enam bulan mencari tanpa ada sebarang petunjuk, mereka sekeluarga hampir putus asa.

“Setelah bertahun hilang, tiada kata dapat saya luahkan dengan penemuan semula anak kami ini. Ini semua bagaikan mimpi,” luahnya.

Riduan sebelum itu juga pernah dua kali hilang namun dijumpai semula selepas beberapa hari kemudian.

Sehubungan itu, Mat Salleh dan isterinya berterima kasih kepada pihak polis Kemaman dan Jerantut serta pihak Desa Bina Diri atas jasa baik membantu mencari dan menjaga anak mereka.

Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment