Tuesday, 19 February 2013

KELEBIHAN SIKAP PEMAAF


Orang pemaaf diringankan daripada beban sifat buruk


MEMPUNYAI hati yang bersih, tidak menyimpan prasangka yang buruk terhadap saudara seinsan tampak mudah, tetapi itulah yang seringkali sulit dilakukan.
Mungkin kita mampu beribadah pada waktu malam tetapi amat sulit menghilangkan walau sedikit sifat hasad, mengata atau bersangka buruk kepada sesama manusia.
Kita lihat bagaimana Rasulullah saw bersama para sahabat menerima tamparan hebat daripada kaum Musyrikin Quraisy.
Umat Islam dibunuh, diseksa dan ditindas, disekat makanan sehingga golongan tua dan anak-anak kecil kelaparan. Tangisan dan linangan air mata menjadi basahan umat Islam.
Malah, Rasulullah saw sendiri dihina, dicela, diludah dan pernah dilontar dengan batu. Baginda juga terpaksa berhijrah bagi menyelamatkan agama Allah.
Namun, apabila Islam berkembang dan Baginda kembali ke Makkah sebagai penguasa dan pemimpin, Baginda tidak mengambil sebarang tindak balas.
Maka tidak hairanlah mereka yang dahulunya pernah memusuhi Baginda akhirnya satu-persatu memeluk agama Islam, dan seterusnya menjadi penyokong kuat dan tulang belakang perjuangan Baginda saw.
Allah berfirman: "Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (yakni kepadamu, wahai Muhammad), kamu telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarah), maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Ali 'Imran: 159)
Sebagai rumusan, ada dua pengajaran penting:
Pertama, menjadi seorang yang pemaaf dan tidak membalas keburukan dengan keburukan.
Seorang Muslim yang bersifat pemaaf, sebenarnya telah membuang dalam dirinya segala bebanan sifat-sifat mazmumah atau keburukan seperti hasad, dengki, iri hati, dendam dan lain-lain lagi.
Maka dengan hilangnya sifat-sifat buruk tersebut, dirinya akan menjadi ringan dari segala bebanan tersebut, manakala sifat rohaninya dan cinta untuk membuat kebaikan pula akan semakin bertambah.
Akhirnya, dia menjadi seorang insan yang lebih baik, yang seterusnya dikasihi dan dicintai oleh sesiapa sahaja yang mengenali dirinya.
Kedua, umat yang mengaku cintakan Nabi ialah mereka yang mencontohi sifat teladan Baginda.
Contohilah akhlak mulia Nabi secara keseluruhan, iaitu bermula dengan sifat pemaaf dan sikap tidak membalas keburukan dengan keburukan.
Leraikanlah segala perselisihan, terutama sesama saudara kita, apatah lagi perselisihan bersama ibu bapa jika ada.
Sedalam manapun kepedihan kita, mereka tetap keluarga kita dan ikatan kekeluargaan merupakan sesuatu yang sangat berharga dan perlu kita raikan bersama.
Semoga kita mencontohi keperibadian mulia Baginda dan menjadi seorang Muslim yang sentiasa bersikap pemaaf dan rahmah.

Credit: CYBERITA

No comments:

Post a Comment