Friday, 22 February 2013

Kepercayaan kukuhkan organisasi



Setiap pekerja perlu elak sikap curiga, sinis antara satu sama lain.

Ruangan minggu ini berkongsi mengenai pentingnya kepercayaan dalam berorganisasi. Cuba kita bayangkan jika bekerja dalam suasana yang anggotanya kurang mempercayai, saling mencurigai, skeptikal, sinis serta mempunyai prasangka negatif antara satu sama lain. 


Sudah tentu suasana sebegini menghilangkan keseronokan bekerja dan motivasi malah turut menjejaskan prestasi dan produktiviti. Kepercayaan adalah kehidupan dalam berorganisasi. Persoalannya bagaimana untuk mewujudkan kepercayaan? Satu daripada faktornya terletak dalam diri kita sebagai peneraju sama ada pegawai atasan, staf bawahan atau kumpulan tertentu yang diberikan amanah. Antara kualiti diri yang utama dalam meraih kepercayaan ialah berkaliber, jujur, amanah, berkecuali, berintegriti, berpengetahuan, berpengalaman, komited dan mengutamakan pelanggan.

Ini adalah nilai asas dalam membina kepercayaan di mana saja kita bekerja dan menjalani kehidupan. Ia perlu dibina dalam diri peneraju dan tidak memadai dengan hanya memilikinya tanpa dizahirkan dengan tindakan.

Oleh itu, seseorang peneraju bukan saja dipercayai tetapi perlu dilihat boleh dipercayai melalui kesungguhan, komitmen dan karisma yang dizahirkan seperti maksud akhlak menurut Imam Al-Ghazali iaitu perilaku baik yang mampu dizahirkan secara spontan tanpa paksaan.



Kepercayaan ada tahap.

Begitu juga kesanggupan memikul amanah saja tidak memadai untuk meraih kepercayaan jika tiada nilai kualiti tertentu. Keutamaan ini dapat dilihat apabila Rasulullah tidak melantik Abu Zar sebagai pegawai walaupun beliau sanggup dan menawarkan dirinya kepada Baginda.

Sabda Baginda: “Wahai Abu Zar sesungguhnya engkau orang yang lemah, sedangkan (pekerjaan) ini adalah amanah. Pada Hari Kiamat kelak ada kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang memenuhi hak-haknya dan menjalankan (tanggungjawabnya) dengan sepatutnya.” (Riwayat Muslim) 

Hadis ini bukan menunjukkan sahabat itu seorang yang tidak dipercayai, tetapi kepercayaan mempunyai tahapnya. Semakin tinggi jawatan dipegang, semakin tinggilah tahap kepercayaan yang diberi dan semakin kukuhlah kualiti diri yang diperlukan.

Kajian empirikal menunjukkan bahawa kebolehpercayaan terhadap peneraju berada pada dua tahap utama iaitu tinggi dan rendah. Tahap kebolehpercayaan organisasi yang tinggi sering dikaitkan dengan hasil kerja positif, komitmen tinggi, komunikasi baik meliputi arahan betul dan munasabah, keputusan tepat dan tindakan adil terhadap pekerja. 

Manakala tahap kebolehpercayaan yang rendah sering dikaitkan dengan tiga ciri iaitu pengetahuan, pengalaman atau kemahiran; sikap dan tingkah laku peneraju.



Beri kepercayaan.

Peneraju yang kurang berpengalaman atau berpengetahuan sering dianggap tidak berpandangan luas dan bijaksana, membuat keputusan secara tidak tepat, konsisten serta tindakan yang terburu-buru. 

Ketiga-tiga ciri ini menyebabkan tahap kepercayaan rendah dan sukar diletakkan di bahu peneraju. Tanpa pengetahuan, sikap dan tingkah laku yang berakhlak boleh membawa iklim organisasi tidak harmonis serta timbul krisis kepercayaan. 

Anggota organisasi yang berkongsi nilai, misi dan visi sama dalam mencapai matlamat menyebabkan pekerja bawahan berkeyakinan tinggi dan berasa organisasi prihatin terhadap kebajikan serta hasrat mereka. 

Selain kepercayaan yang diraih, majikan juga perlu memberikan kepercayaannya kepada anggota yang mempunyai kualiti diri dinyatakan. Hubungan kepercayaan dua hala ini sangat penting dalam membentuk iklim kerjasama dan muafakat dalam organisasi selain meringankan bebanan tugas.

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kamu ialah pemimpin yang kamu mengasihi mereka, mereka mengasihi kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.”( Riwayat Muslim).


Credit: PM Dr Syarifah Hayaati Syed Ismail/API/UM



No comments:

Post a Comment