Bina rumah anda di akhirat
SUATU hari, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan seorang ulama besar di Madinah bernama Abu Hazim Salamah bin Dinar. Khalifah bertanya kepadanya: "Wahai Abu Hazim, apa sebab yang membuat kami takut mati?"
Abu Hazim menjawab, "Sebabnya adalah engkau telah memewahkan rumahmu di dunia, dan meruntuhkan rumahmu di akhirat. Maka kamu takut berpindah dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh."
Benar ucapan Abu Hazim ini. Setiap manusia memiliki dua tempat tinggal. Tempat tinggal yang pertama sedang ia diami di dunia, dan sifatnya hanya sementara sahaja. Dan rumah satu lagi akan ia duduki kelak selepas mati dan sifatnya kekal abadi selamanya.
Rasulullah SAW selalu mengingatkan bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara. Kita ibarat seorang musafir yang tengah rehat di bawah pokok. Dan ia akan segera meninggalkan tempat itu untuk mencapai destinasi yang dituju.
Maka sungguh pelik jika ada musafir yang menghiasi tempat istirehatnya yang sementara itu dengan pelbagai sebab-sebab keselesaan dan lupa untuk menyimpan sesuatu untuk tempat tinggalnya yang kekal di destinasi nanti. Tidak terbayang penyesalan yang akan ia rasakan apabila tiba di destinasi itu namun tidak mendapatkan tempat selesa untuk didiami atau diduduki.
Amal soleh
Amal soleh adalah bekalan kita menuju Allah SWT. Tempat kita di akhirat ditentukan dengan berapa banyak amalan ibadah kita di dunia.
Sesiapa yang menginginkan rumah besar di syurga, dihiasi dengan taman-taman yang indah, dia boleh menempahnya dari sekarang. Iaitu dengan memperbanyak kerja-kerja yang diniatkan untuk manfaat agama dan umat Islam.
Kerja-kerja itu sangat beragam. Mulai daripada kerja seremeh menyingkirkan kotoran di jalan hingga kerja-kerja besar seperti pentadbiran negara.
Jadi, konsep amal soleh dalam Islam sangat luas dan tidak terhad pada ibadah-ibadah ritual semata. Ia meliputi perkara-perkara yang biasa kita lakukan sehari-hari.
Membuang sampah pada tempatnya yang disediakan adalah amal soleh.
Meletakkan kereta dalam posisi yang tidak mengganggu pengguna jalan yang lain adalah amal soleh.
Bahkan, tersenyum apabila berjumpa dengan jiran sebelah rumah juga amal soleh.
Sungguh banyak amal soleh yang boleh kita lakukan. Benar ucapan Abu Hazim: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli."
Barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di tenggorokan. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup. Andai seseorang hendak bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak akan menerimanya.
Rumah siap
Hidup di dunia adalah satu kesempatan untuk membina rumah selesa di akhirat. Dan orang yang berakal tidak akan melepaskan kesempatan besar ini. Sebelum meninggal dunia, ia berusaha untuk memastikan ada rumah yang akan ia diami di syurga.
Ibnu Rajab al-Hanbali bercerita, suatu hari seseorang yang soleh berjumpa malaikat dalam mimpinya. Malaikat itu berkata: "Kami diperintahkan untuk menyelesaikan rumahmu di syurga. Rumah itu diberi nama: "Vila Kebahagiaan" (Dar al-Surur). Kami telah membina dan menghiasinya dengan sangat indah.
"Khabar gembira untukmu," lanjut malaikat, "setelah tujuh hari nanti, rumah itu akan rampung dibina."
Ibnu Rajab berkata: "Tujuh hari kemudian, orang soleh itu meninggal dunia."
Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah untuk kembali kepada Allah sebelum maut menjemput. Amin ya rabbal álamin.
No comments:
Post a Comment