Friday, 8 February 2013

Keresahan nelayan di sempadan





PARA nelayan Pakistan bersiap sedia untuk turun ke laut menangkap ikan di pinggir Karachi.


PEMBUNUHAN askar-askar India dan Pakistan di Kashmir mudah menarik perhatian dunia tetapi mangsa-mangsa di bahagian sempadan lain yang turut menjadi perbalahan antara dua negara langsung dilupakan.
Di dalam sebuah pondok kayu yang pada bila-bila masa boleh terbang ditiup angin di kampung Rerhy dekat pesisiran pantai Pakistan, Hamida sedang berkabung dan menangisi kehilangan suaminya, Nawaz.
Suaminya yang merupakan seorang nelayan, sama seperti penduduk kampung lain yang ketika itu sibuk bersiap sedia dengan bot-bot pelbagai warna di tepi pantai.
Nawaz ke laut pada tahun 1999, dua hari sebelum ribut ganas melanda negara itu. Keluarga Hamida menyangka lelaki tersebut sudah mati tetapi selepas tujuh tahun, mereka menerima sepucuk surat menyatakan dia masih hidup dan berada di dalam penjara India.
Kemudian, pada musim luruh lalu, Hamida mengalami kejutan yang lebih teruk sehingga badannya menggeletar. Tanpa sebarang petanda, tubuh suaminya yang tidak bernyawa dihantar ke rumahnya.
Sejak mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1947, Pakistan telah terlibat dalam dua buah peperangan dengan India yang berpunca daripada pertikaian wilayah Himalaya. Pertempuran antara pasukan tentera kedua-dua negara itu sering menjadi tajuk utama media.
Seramai lima orang askar iaitu tiga orang Pakistan dan dua India telah terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di sempadan kedua-dua negara sejak 6 Januari lalu.
Pertempuran yang berlarutan itu ditakuti bakal melibatkan senjata nuklear dua negara sekali gus bakal menggugat keamanan.

HASAN merupakan antara nelayan Pakistan yang pernah ditahan di penjara India kerana kesalahan melepasi sempadan.


Zon maut
Namun, pertikaian di Sir Creek, jaluran air sepanjang 100 kilometer di kawasan berpaya yang membahagi wilayah Gujarat, India dan Sindh, Pakistan, kurang diketahui.
Kawasan berair itu berhubung dengan Laut Arab dan dikenali sebagai sebuah tempat yang kaya dengan sumber ikan tetapi nelayan yang terlalu berani memasuki zon tersebut secara haram sering ditangkap dan dipenjara di negara jiran.
"Ketika itu, terdapat tujuh orang dalam bot kami dan saya tidak tahu di mana kami berada. Lelaki yang menjadi pemilik bot sepatutnya tahu," kata Ganesh Kumar, 17, di penjara Malir, Karachi.
Ganesh ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan pada bulan Oktober lalu ketika berada dalam bot India. Terdapat lebih 200 nelayan India berada dalam tahanan di Malir, kata gabenor penjara, Nazir Hussain Shah.
Menurut sekretari Forum Pekerja-Pekerja Berkaitan Perikanan India, Manish Lodhari, seramai 125 nelayan Pakistan dipenjara di India.
Syed Sarim Burney, peguam yang mewakili rakyat India di Pakistan berkata, nelayan-nelayan bergantung kepada belas ihsan pihak berkuasa.
"Mereka dicampak ke dalam penjara selama bertahun-tahun tanpa melakukan sebarang jenayah.
"Tiada sempadan laut yang jelas antara dua negara, jadi tentera laut setiap negara boleh menahan penduduk negara jiran mengikut kemahuan," terangnya.
Syed Sarim menambah, nelayan menggunakan bot-bot yang ringkas hanya dilengkapi peralatan navigasi moden Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang membantu mereka menentukan lokasi.
Delhi dan Islamabad telahpun berusaha mencari jalan meningkatkan perhubungan kebelakangan ini. Sejumlah nelayan telah dibebaskan secara berperingkat pada tahun lalu sebagai tanda muhibah.
Namun, seramai 33 rakyat India ditahan semula oleh penguat kuasa Pakistan dalam masa kurang sebulan selepas 48 orang dibebaskan.

KAKAK ipar Nawaz yang meninggal dunia di penjara India, Nazeran menunjukkan gambar lelaki itu sambil menangis.


Bekalan berkurangan
Jawatankuasa bersama ditubuhkan pada tahun 2007 bagi mencuba dan mempercepatkan pembebasan nelayan. Apabila dilepaskan, mereka pulang ke rumah sambil diiringi melalui jalan darat tanpa bot.
Pengurangan stok ikan kesan perubahan alam sekitar terutamanya daripada pencemaran industri dan pembangunan empangan merentasi sungai Indus kini semakin dirasai.
Menurut wakil Forum Perikanan Pakistan, Mohammad Ali Shah, kawasan pokok-pokok bakau yang sangat penting pada ekosistem untuk ikan dan kerang-kerangan mencari makan dan membiak telah mengecil daripada 300,000 ke 70,000 hektar dalam tempoh 30 tahun.
Kesannya, nelayan Pakistan pergi lebih jauh sehingga ke timur, dekat dengan India iaitu wilayah yang menjadi perbalahan. Kata mereka, sumber ikan lebih banyak di situ.
Hasan Dabla, 80-an, telah menjadi nelayan di Laut Arab hampir keseluruhan usianya. Dia pernah menghabiskan 18 bulan di penjara India pada tahun 1990-an.
Dia sering teringat kenangan ketika usia muda. Ketika itu, Hasan melalui kehidupan yang cukup ringkas.
"Ketika saya masih kanak-kanak, saya memancing bersama-sama ayah dan tiada sebarang bahaya langsung. Selepas perpecahan, terdapat sebuah tembok yang dibuat dalam kalangan rakyat," keluhnya.
Sehingga India dan Pakistan mencapai kata sepakat, memori manis Hasan nampaknya akan kekal selama-lamanya sebagai memori sahaja. 
Credit: Kosmo/AFP

No comments:

Post a Comment