Friday 11 January 2013

Pemandu amuk bakar kenderaan JPJ


caption image1
SITIAWAN: Tindakan ganas dan melampau apabila sekumpulan kira-kira 40 lelaki dipercayai membabitkan tonto bertindak menterbalikkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum membakar kenderaan berkenaan.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari tadi, tiga pegawai JPJ yang menaiki pacuan empat roda model Toyota Fortuner terselamat apabila sempat keluar dan lari menyelamatkan diri ke arah Balai Polis Sri Manjung, di sini. 
Timbalan Ketua Polis Manjung, Deputi Superintanden Ahmad Mat Isa berkata, kejadian berlaku sebaik pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Ipoh berhenti di lampu isyarat merah berhampiran hadapan Sekolah Menengah Methodist, Air Tawar, di sini. 

Menurutnya, ketika sedang menunggu lampu hijau, sebuah lori yang membawa muatan tandan kelapa sawit merempuh belakang kenderaan JPJ berkenaan.

Difahamkan kemalangan itu turut menyebabkan sebuah lori, dua bas, empat kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam nahas berkenaan.

"Pegawai JPJ yang berada di dalam kenderaan itu sempat keluar menyelamatkan diri sebelum mendapati orang ramai mula menyerbu ke arah mereka. Berikutan bimbang dipersalahkan, tiga pegawai JPJ terbabit lari meninggalkan kenderaan JPJ berkenaan sebelum menumpang kenderaan awam menuju ke Balai Polis Sri Manjung. 

"Ketika itu muncul sekumpulan individu merosakkan serta menterbalik kenderaan JPJ berkenaan. Mereka turut membakar kenderaan JPJ berkenaan namun sempat dipadamkan oleh pihak bomba yang berada di lokasi kejadian. 

"Kemalangan itu menyebabkan 25 mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sri Manjung, untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes itu kini disiasat di bawah seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987."
Credit: Wan Asrudi Wan Hasan dan Idris Sulaiman

No comments:

Post a Comment