Sunday 7 July 2013

Enam juta tiada lesen

Enam juta tiada lesenTIMBALAN Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ariffin Che Mat menyampaikan replika lesen pemandu kepada peserta tertua Kamaruddin Gendut, 82, pada program Satu Komuniti Satu JPJ di sini, semalam. - Foto Roselan Ab Malek
Kebanyakan babit remaja, dewasa tunggang motosikal: JPJ
Jerantut: Seramai enam juta pengguna jalan raya memandu dan menunggang motosikal tanpa lesen walaupun mereka layak memohonnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ariffin Che Mat, berkata kebanyakannya adalah remaja dan dewasa yang menunggang motosikal.



Anggaran hasil operasi JPJ

“Anggaran ini kita buat selepas meneliti statistik operasi sebelum ini. Sebahagian operasi JPJ dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain mendapati kebanyakan penunggang motosikal tidak mempunyai lesen adalah remaja. 



“Sehubungan itu, kami bercadang menubuhkan skuad muda JPJ bagi menarik remaja yang layak memohon untuk mendapatkan lesen sah. Kita sedang mengenalpasti sukarelawan muda yang boleh dilantik sebagai ahli skuad muda dan menjadi ikon kepada remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ, di Sekolah Kebangsaan Damak, dekat sini, semalam.



Beri penerangan aspek keselamatan

Ariffin berkata, skuad itu juga bertanggungjawab memberi penerangan mengenai aspek keselamatan seperti pemakaian topi keledar yang betul, cara menunggang motosikal selamat dan keperluan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan kepada golongan sasar.

Katanya, semua perkara ini perlu ditangani segera berikutan jumlah kes kemalangan maut yang meningkat disebabkan sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan. 


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah, berkata sikap kurang prihatin golongan dewasa khususnya ibu bapa menyebabkan ramai tidak memiliki lesen.

Beliau berkata, kesedaran dan peranan golongan dewasa penting untuk memastikan anak mereka memiliki lesen sah sebelum dibenarkan menggunakan kenderaan terutama motosikal. 

“Walau sebanyak mana program dan usaha memastikan keselamatan dilaksanakan, isu ini masih berterusan kerana ‘lesen pertama’ yang pengguna jalan raya peroleh adalah daripada ibu bapa mereka,” katanya.


Syor kaji kos ambil lesen 


Presiden Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersekutu Malaysia, Wazi Abdul Hamid pula mencadangkan penelitian dibuat bagi menilai semula kos mengambil lesen motosikal.

“Kemungkinan kos lesen menjadi punca remaja khususnya lepasan sekolah sukar mendapatkannya disebabkan kekangan kewangan. Sesi latihan ketika mengambil lesen boleh dijalankan secara berkelompok atau jumlah jam (latihan) dikurangkan. Ia boleh mengurangkan kos, tambahan pula remaja kini sudah ada kemahiran menunggang, cuma pemahaman undang-undang masih lemah,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri pula berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan supaya menubuhkan Kadet JPJ di sekolah.

Langkah itu, bukan saja dapat memberi kesedaran kepada remaja pentingnya memiliki lesen, malah mendidik mereka untuk memahami undang-undang berkaitan jalan raya.


Credit: Mohd Nasaruddin Parzi, Wan Noor Hayati Wan Alias dan Roselan Ab Malek

No comments:

Post a Comment