Sunday 7 July 2013

Tak pernah putus asa hafaz al-Quran

Tak pernah  putus asa hafaz al-Quran
Kuala Kubu Bahru: Buta sejak berusia tiga tahun tidak menghalang Siti Fatimah Mohamed, 26, untuk menghafaz al-Quran sehingga berjaya tersenarai antara penerima Anugerah Khas Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Pada Konvokesyen Darul Quran kali ke-22 semalam, kegembiraan anak sulung daripada lapan beradik itu berganda apabila turut berjaya menggenggam Diploma Tahfiz al-Quran.


“Sebulan sebelum peperiksaan, baru saya siap terjemah al-Quran dan bahan rujukan. Mujur ada rakan yang tak jemu membantu mengulang kaji pelajaran. Memang susah belajar hanya dengan mendengar, berbanding rakan lain yang lebih bernasib baik, tapi saya tak putus asa,” katanya. 


505 tamat pengajian 

Majlis berkenaan menyaksikan 505 graduan Darul Quran menerima sijil, diploma dan ijazah yang disampaikan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha. Turut hadir, Pengarah Darul Quran, Zawanah Muhammad. 


Sementara itu, penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Raden Qurratu’aini Muhammad Mun’im, 21, yang berjaya mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93, berazam melanjutkan pengajian ke Universiti Jordan bagi mendalami bidang syariah. 

“Mencari keredaan Allah melalui solat sunat dan wajib banyak membantu saya tenang ketika mengulang kaji pelajaran setiap kali sebelum Subuh,” katanya yang juga minat menulis puisi dan aktif dalam perbahasan mewakili Darul Quran. 

Ibunya, Siti Maisarah Mohamed Tahir, 48, berkata Raden yang juga anak sulung daripada empat beradik, suka menampal kata-kata semangat di bilik selain berpendirian tetap dan tegas, gigih berusaha dan pantang putus asa dalam mengejar impian hidup. 



Naik taraf Darul Quran 
Sementara itu, Othman ketika ditemui pada sidang media selepas itu, berkata cadangan menaiktaraf Darul Quran menjadi kolej universiti bakal menyaksikan lebih banyak program pengajian ditawarkan selain memperkasakan dan memartabatkan kepentingan pendidikan Islam di negara ini. 

Beliau berkata, pasukan ‘nukleus’ ditubuhkan hasil kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengkaji dan melaksanakan cadangan naik taraf berkenaan yang dijangka dicapai dalam tempoh setahun ini.



Credit; Luqman Arif Abdul Karim.

No comments:

Post a Comment