Tuesday, 2 July 2013

Tebus dosa lalu dengan bertaubat

Ramadan galak ummah beristighfar mohon keampunan
Kini kita di fasa terakhir Syaaban dan akan melangkah ke Ramadan. Justeru marilah kita memperbanyakkan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memanjang usia dan diberi peluang bertemu semula Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. 


Namun, sebelum melangkah memasuki Ramadan, umat Islam digalakkan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan di atas segala dosa yang lalu. Mudah-mudahan kita menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh ketenangan dan diberi peluang Allah SWT melipatgandakan usaha memperbanyakkan amal ibadah. 

Sebagai insan yang lemah, kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Selepas Ramadan yang lalu, kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap isteri, suami, anak-anak, sahabat dan sebagainya.

Maka, bertaubat adalah cara yang digariskan bagi menebus semula kesalahan dan dosa dilakukan, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW. Dari Saidina Anas ra yang bermaksud: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Hukum taubat wajib

Menurut Ibnu Abbas ra, taubat adalah menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah, meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Secara ijmak, ulama sepakat bahawa hukum bertaubat adalah wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sesungguhnya kewajipan taubat diulang Allah SWT dalam kitab suci al-Quran, antaranya dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang Mukminin, semoga kamu mendapat kemenangan”. 

Berdasarkan ayat itu, maka kita perlulah menyedari kesalahan yang dilakukan sepanjang kita hidup ini. Kita hendaklah bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah SWT agar kehidupan kita menjadi tenang dan aman.

Malah, Allah turut memberi amaran mereka yang tidak bertaubat adalah termasuk ke dalam golongan yang menzalimi diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang aniaya.”

Dalam Surah al-Baqarah ayat 222, umat Islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.”

Menyentuh soal taubat, Luqman al-Hakim pernah berwasiat kepada anaknya: “Wahai anakku, janganlah engkau tangguhkan bertaubat, sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba.” 

Jangan tangguh taubat
Sebagai umat Islam yang wajib menumpahkan taat setia kepada ajaran yang diperintahkan, perbuatan taubat perlu disegerakan selagi diberi peluang menikmati saki baki kehidupan di alam fana ini. 

Elakkan daripada tabiat suka menangguhkan taubat kerana Baginda Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang menangguhkan taubat sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Binasalah orang yang mengatakan esok saya akan bertaubat.”

Sesungguhnya taubat yang paling baik adalah taubat nasuha sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha (sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalam beberapa sungai.”

Justeru sebesar mana sekalipun dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan, sekiranya kita segera memohon keampunan Allah SWT, nescaya Allah akan mengampunkan kita kecuali dosa syirik. Betapa hebatnya sifat al-Ghaffur (Maha Pengampun) Allah di mana mereka yang bertaubat apabila melakukan kesalahan kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi.

Jika dalam hati kecil kita masih belum tergerak untuk bertaubat, cubalah renungi kisah taubat Nabi Adam as selepas Baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Baginda bertaubat dengan penuh kesungguhan dan ada riwayat yang mengatakan bahawa Baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa yang bermaksud: “Ya Tuhanku, kami melakukan kezaliman terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi.”

Begitu juga dengan Nabi Yunus as semasa Baginda berada di dalam perut ikan nun, Baginda senantiasa bertasbih dan bertaubat seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 87 bermaksud: “Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau, maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang zalim.” 




Credit: Asri Md Saman
Jab. Pendidikan Islam dan Moral, IPGM Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.


No comments:

Post a Comment