Google+ Followers

Thursday, 4 July 2013

Siasat fahaman Syiah tersebar di Facebook

SHAH ALAM 4 Julai - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap satu gerakan yang dipercayai sedang giat menyebarkan fahaman Syiah menerusi laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

Laporan polis dibuat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ketua Unit Kajian Syiah Isma, Mohamad Ismail berkata, polis bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi terlibat perlu memain peranan membendung kegiatan penyebaran fahaman Syiah di kalangan umat Islam di negara ini.
"Undang-undang telah menetapkan bahawa sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran risalah, filem atau lain-lain berhubung ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan sunnah dan hukum syarak adalah diharamkan.

"Tetapi kami kesal apabila masih ada pemegang akaun Facebook yang dengan berani dan secara terbuka memuat naik status yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dipraktikkan umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan terhadap mereka perlu segera dilakukan kerana ia boleh menggugat keharmonian umat Islam di negara ini.

Mohamad menjelaskan, Syiah adalah fahaman yang wajib ditolak berikutan kebanyakan pegangan memesong akidah yang diterapkan antaranya, menyanjung keterlaluan terhadap Saidina Ali sehingga tergamak menokok tambah nama sahabat nabi itu dalam ucapan kalimah syahadah.

Selain itu, penganut fahaman itu turut mempercayai kemunculan semula Imam Mahadi yang akan memberi keadilan dan menjatuhkan hukuman terhadap umat yang kononnya pernah berlaku zalim.