KAHERAH 6 Julai - Situasi di Mesir terus berada dalam keadaan tegang dengan pertempuran terbaharu antara penyokong pro dan anti-Mursi serta tentera menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang maut, semalam.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin dalam pada itu hari ini berikrar untuk terus mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut tentera mengembalikan kuasa kepada Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat, Mohammed Mursi.
"Perhimpunan besar-besaran secara aman akan berterusan sehinggalah tentera mengembalikan tampuk pemerintahan kepada Presiden Mursi," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan awal hari ini.
Pergerakan Tamarod yang menganjurkan tunjuk perasaan antikerajaan, sekali gus menyebabkan Presiden Mursi digulingkan, turut menggesa pengikutnya turun ke jalan raya esok untuk berhimpun.
Ini memburukkan lagi situasi di Mesir selepas pemimpin agama sebelum ini memberi amaran bahawa negara ini mungkin akan terjerumus ke kancah 'perang saudara'.
"Kita perlu berjaga-jaga supaya tidak terjerumus ke kancah perang saudara," kata ulama di Institut al-Azhar sambil menyalahkan 'geng penjenayah' yang mencetuskan keganasan jalanan dan menyebabkan ramai pengikut Ikhwanul Muslimin terbunuh.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin sebelum ini turut pernah berkata, pengikutnya bersedia untuk mati syahid demi mempertahankan Mursi.
"Hanya satu yang kami boleh lakukan iaitu berdiri teguh mempertahankan Presiden. Kami tidak akan membenarkan rakyat Mesir sekali lagi dibuli oleh tentera," kata Gehad el-Haddad.
"Sebarang rampasan kuasa hanya akan berlaku jika mereka mampu melangkah mayat kami," kata seorang lagi tokoh pergerakan itu, Mohammed el-Beltagi.
Seorang penyokong Mursi yang juga pakar fisioterapi, Manal Shouib, 47, tidak menolak kemungkinan berlaku perang saudara jika tentera merampas kuasa.
"Kami akan berkorban nyawa untuk mempertahankan hak dan jika ini adalah takdir kami," kata seorang lagi penyokong Mursi, Ahmed Abdel-Aziz.
Sementara itu, kumpulan bersenjata Ansar al-Shariah di Mesir hari ini menyifatkan tindakan tentera yang menggulingkan Mursi sebagai satu pengisytiharan perang dan mengancam menggunakan keganasan untuk melaksanakan undang-undang Islam.
Menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di forum internet, mereka akan mengumpulkan senjata dan mula melatih anggotanya.
Ketua Pihak Berkuasa Ambulans Mesir, Mohamed Sulta dalam pada itu berkata, sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat tembakan di kepala dan dada, lapor al-Ahram.
Katanya, sekurang-kurangnya 1,138 orang turut cedera akibat tunjuk perasaan di seluruh Mesir, semalam. - AGENSI
No comments:
Post a Comment