Sunday 7 July 2013

Darul Quran naik taraf kolej universiti



Kuala Kubu Bharu: Institusi pengajian tahfiz Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melahirkan ramai graduan menghafaz al-Quran (hafiz) dinaik taraf sebagai kolej universiti dalam usaha kerajaan memperkasa institusi tahfiz di negara ini.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, satu pasukan dianggotai tokoh akademik dan ahli dalam bidang pengurusan ditubuhkan untuk memastikan proses naik taraf berjalan lancar dan dibuat secara sistematik.

“Kami memberi masa enam sehingga 12 bulan pada pasukan ini meneliti proses naik taraf Darul Quran mengikut kriteria tertentu dan melihat saranannya nanti. Jika boleh kami menjangkakan perkara ini dilaksanakan pada hujung tahun ini,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran ke-22 di sini, semalam.
Menurut Othman, skop pekerjaan graduan hafiz ini tidak hanya terhad sebagai ustaz dan ustazah, sebaliknya pengajian mereka merangkumi bidang akademik lain seperti kejuruteraan dan perubatan.

“Menerusi kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), pelajar tahfiz ini turut memilih bidang lain seperti kejuruteraan.

“Begitu juga, kerjasama Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) memberi peluang kepada pelajar mengambil bidang perubatan. Dulu kami mengatakan mereka menghafaz al-Quran menjadi ustaz atau ustazah tetapi sekarang skop pengajian semakin luas,” katanya.
Othman berkata, graduan hafiz ini menjadi rujukan masyarakat setempat khusus di kawasan pedalaman.

“JAKIM berbincang dengan banyak universiti untuk memberi ruang kepada pelajar tahfiz menyambung pengajian dalam bidang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment