Friday 5 July 2013

Boleh lapor di mana-mana balai polis

Kuala Lumpur: Mangsa kemalangan jalan raya kini boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis di Malaysia bukan sahaja di balai polis trafik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata langkah berkenaan bertujuan memudahkan orang ramai yang ingin membuat laporan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, keterangan pengadu juga akan diambil di balai polis yang sama tetapi siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dijalankan pegawai penyiasat trafik bersabit kawasan kemalangan.
Katanya, disebabkan terdapat masalah ‘bidang kuasa’ kawasan, kes siasatan kemalangan itu bagaimanapun masih perlu dilakukan di tempat berlakunya kemalangan termasuk proses mendapatkan lakaran gambar rajah lokasi kejadian.

“Dengan pelaksanaan sistem-dalam-talian ‘Police Reporting System’ atau PRS yang disepadukan dengan sistem “Car Accident Reporting System” (CARS), aduan mengenai kemalangan jalan raya akan dapat diperoleh menerusi sistem berkenaan di setiap balai polis di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

“Sistem PRS masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya di Sabah dan Sarawak, oleh kerana itu juga sistem CARS itu juga tidak dapat diintegrasikan di kedua-dua negeri itu namun ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat di kedua-dua negeri itu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mitsubishi Lancer GT 2.0 oleh Plus Malaysia Berhad kepada Cawangan Trafik Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, integrasi sistem PRS dan CARS ini tidak dapat dilaksanakan di Sabah dan Sarawak seiring dengan negeri-negeri lain berikutan bentuk muka bumi yang luas dan berbukit bukau.

Credit: Kalidevi Mogan Kumarappa

No comments:

Post a Comment