Friday 12 April 2013

Wanita rugi RM1,850 ditipu kenalan Facebook


KUANTAN -  Seorang wanita dilaporkan mengalami kerugian RM1,850 akibat tertipu dengan kenalan Facebook.

Mangsa yang berumur 48 tahun dan tinggal di Raub dikatakan membayar wang tersebut untuk mendapatkan hadiah dari seorang warga 'Arab' yang dikenalinya sejak Februari lepas.
  
Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Samsuddin Wan Osman berkata menurut laporan mangsa semalam, lelaki berkenaan mahu mengirimkan hadiah kepadanya sebagai tanda persahabatan mereka.
  
Beliau berkata pada 3 April lalu, mangsa telah dihubungi seorang wanita yang mendakwa dirinya kerani di sebuah syarikat penghantaran di Sarawak yang memberitahu hadiah untuknya sudah tiba dari Arab Saudi dan meminta mangsa memasukkan RM1,850 ke dalam sebuah akaun bank bagi tujuan pembayaran cukai.
  
Mangsa kemudiannya memasukkan jumlah wang berkenaan ke dalam akaun bank tersebut yang disusuli dengan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) wanita berkenaan yang memberitahu hadiah mangsa berada di syarikat berkenaan dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM5,000 sebelum dihantar kepadanya.
Wan Samsuddin berkata mangsa yang menyedari dirinya ditipu tidak membuat bayaran itu sebaliknya membuat laporan polis.
  
Beliau berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan dan percaya sindiket terbabit dianggotai beberapa individu yang akan menjerat mangsa terutama wanita.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

No comments:

Post a Comment